fbpx

Pastikan bantuan tidak bertindih, Perak komited basmi kemiskinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Didik Kasih Madani: Kasih Siswa 2023 kepada salah seorang penerima di Dewan Merdeka, Seri Manjung hari ini.

MANJUNG – Kolaborasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan bantuan yang diberikan kepada penerima tidak bertindih atau data golongan tersebut disalah guna.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihak kerajaan negeri menganjurkan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak hari ini di Dewan Merdeka, Seri Manjung.

“Program ini sebenarnya kita menyambut apa yang telah dianjurkan oleh Perdana Menteri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

“Di Perak pun kita memang ada program pembasmian kemiskinan dalam pelan Perak Sejahtera 2030, memang dengan jelas menyatakan (program pembasmian kemiskinan) cuma ada satu keperluan dibuat iaitu kena ada kolaborasi antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Kolaborasi antara agensi kerajaan Persekutuan pun kena, sebab tu kita guna istilah one stop center di mana ada satu pusat sahaja. Kesemua agensi terlibat sama ada kerajaan Persekutuan atau negeri hendaklah berurusan dengan satu pusat ini sahaja supaya penerima-penerima nanti tidak akan dapat bantuan yg bertindih atau pun kita salah guna data,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak di Dewan Merdeka, Seri Manjung di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saarani berkata, data daripada senarai orang miskin Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), eKasih dan pelbagai agensi lagi hendaklah disatukan di OSC tersebut.

Jelasnya, ia bagi memastikan supaya bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran dengan tepat.

Pelbagai acara menarik dianjurkan pada program tersebut, antaranya ruang pempamer majikan-majikan dan institusi pengajian tinggi, program kesihatan serta perkhidmatan tukar minyak hitam dan gunting rambut percuma kepada 100 peserta eKasih terawal. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI