fbpx

‘Situasi terburuk saya jadi rider’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan deretan motosikal penghantar makanan yang menunggu pesanan makanan pelanggan di Lembah Klang.

PETALING JAYA – Kehidupan pekerja perkhidmatan p-hailing (rider) kini bertambah sukar akibat terkesan dengan kempen boikot yang menjejaskan pendapatan mereka sehingga 60 peratus.

Menerusi tinjauan Kosmo! di sekitar Lembah Klang rata-rata mengatakan, keadaan berkenaan telah berlanjutan sejak dua ming­gu lalu, malah sehingga kini situasinya masih sama.

Keadaan di kebanyakan restoran makanan segera dan kafe terkemuka juga didapati le­ngang, tidak seperti biasa walaupun ketika waktu puncak.

Ia dipercayai susulan tindakan boikot orang ramai terhadap produk atau francais yang dipercayai memberi sokongan kepada Israel yang menjadi punca ke­sengsaraan rakyat Palestin.

Seorang penghantar makanan, Zulkifli Alias, 41, berkata, sebelum ini dia mampu me­raih pendapatan sehingga RM700 seminggu, namun kini sekitar RM200 sahaja.

Katanya yang memiliki tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun, jumlah berkenaan tidak cukup untuk menampung kos perbelanjaan bulanannya yang mencecah RM2,500 sebulan.

“Perbelanjaan bulanan saya cecah RM2,500 sebulan termasuk sewa rumah, kos barang dapur, bayar pengasuh dua anak dan lain-lain keperluan.

“Mana mungkin jumlah pendapatan sekarang boleh menampung semua tu. Mujur isteri be­kerja dan ada bantu juga.

“Ini situasi terburuk saya pernah hadapi sepanjang dua tahun bekerja sebagai rider. Memang sangat terkesan tambahan saya rider di sebuah restoran makanan segera.

“Sekarang saya sedang cari sumber pendapatan alternatif selain peluang pekerjaan lain sebagai persediaan jika keadaan ini berlanjutan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Walau bagaimanapun kata­nya, dia reda dan langsung tidak menyalahkan orang ramai yang menjayakan kempen boikot ke atas jenama tertentu.

“Walaupun saya dan kawan-kawan rider terkesan, tapi saya langsung tak ada perasaan marah sebab ini adalah jihad kecil orang ramai.

“Insya-Allah saya boleh usaha cara lain sebab sekecil-kecil iman, kita mesti kena ada pera­saan simpati dan reda,” ujarnya.

Sementara itu, Khalid Azhar, 43, turut menyifatkan jumlah pendapatan diraih kini adalah rekod terburuk pernah diterima.

“Pendapatan sebagai rider merosot sebanyak 40 peratus sejak lebih seminggu lalu.

“Macam saya lagi terasa sebab memang banyak ambil pesanan dari restoran-restoran makanan segera.

“Sebelum ni boleh dapat RM150 sehari tapi sekarang RM80 saja dan sekarang memang kena berjimat betul,” ujarnya.

Bagi Razali Rahman, 28, pula menjangkakan keadaan akan bertambah sukar berikutan ada pengurusan restoran makanan segera memutuskan untuk memendekkan waktu operasi.

“Banyak juga restoran yang dah mula hadkan waktu operasi, jadi peluang untuk kami dapatkan pesanan bertambah sukar.

“Ada yang sebelum ni tamat operasi pukul 2 pagi tapi kini diawalkan ke 11.30 malam kerana kekurangan pelanggan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI