fbpx

PN Perak tak pernah pertikai peruntukan kerajaan negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainol Fadzi.

IPOH – Perikatan Nasional (PN) Perak tidak pernah mempertikaikan atau membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak lagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang seperti yang didakwa oleh Pemuda Umno Perak.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya pelik mengapa Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin memainkan naratif isu terbabit dalam sesi wawancara Lepak @ Pemuda Umno Perak dengan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Katanya, Nazirul dilihat seolah-olah cuba mengheret atau menimbulkan satu polemik tidak baik kepada Saarani apabila menuduh ADUN PN tidak diberikan peruntukan.

“PN Perak memandang serius perkara yang dibangkit dan amat pelik mengapa isu terbabit dimainkan oleh Pemuda Umno Perak atau mungkin terdapat salah faham dalam isu terbabit.

“Saya turut tegaskan di sini tiada satu ADUN PN yang pernah mempertikaikan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri seperti yang digambarkan oleh Nazirul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, PN negeri berterima kasih kepada Saarani kerana masih mengekalkan dasar yang diputuskan bersama ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang pertama menteri besar itu dan dirinya yang pada waktu itu menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri.

“Keputusan terbabit yang dipengerusikan oleh Saarani telah menetapkan sesiapa pun yang menjadi kerajaan, peruntukan kepada ADUN pembangkang tetap akan diberi.

“Namun peruntukan itu amat terhad dan tidak mencukupi bagi menampung permohonan orang ramai jika melibatkan kos yang besar atau memohon sesuatu projek dijalankan,” katanya.

Berbanding ADUN kerajaan, beliau berkata, mereka boleh salurkan sebarang permohonan kepada kerajaan negeri malahan di peringkat kerajaan Persekutuan melalui menteri yang berkaitan malah mudah untuk dapatkan peruntukan.

“Adakah kerajaan negeri atau Pusat bersedia meluluskan permohonan daripada ADUN pembangkang jika terdapat sebarang permohonan untuk dimajukan bagi menghormati hak rakyat yang telah memilih wakil rakyat mereka.

“PN Perak merakamkan ucapan terima kasih kepada ketua jabatan di peringkat negeri dan pusat termasuk di daerah-daerah yang sentiasa memberi respon cukup baik.

“Kami turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai dan penjawat awam agensi terlibat dalam memberi kerjasama kepada ADUN PN jika timbul sebarang permasalahan di kawasan kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI