SEHANGAT bara tembakau bersulam aroma cengkih dan mawar, begitulah perasaan Dian Sastrowardoyo ketika mula-mula memainkan peranan Dasiyah di set penggambaran Gadis Kretek.
Antara teruja dan tertekan, dua emosi berlawanan itu dikatakan saling bertarung ketika fasa awal berada di dalam set penggambaran drama bersiri original pertama terbitan Netflix itu.
Setiap perincian dari lengguk bicara, cara berjalan hingga lengguk tubuh perlu dilakukan penuh tertib seperti karakter dibayangkan dalam novel asal yang juga judul siri berkenaan.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Deauville itu bahkan tanpa berselindung mengakui melalui tekanan hebat apabila sukar memberi transisi diri menjadi sosok wanita berjiwa ampuh seperti diingini sutradara Kamila Andini.
“Beragam dugaan perlu dilalui, malah pengorbanan untuk menjadi seorang wanita berhati waja yang mampu tembus ke dalam industri kretek era 1960-an dengan didominasi lelaki, sungguh getir.

“Saya berhenti berjumpa teman dan tidak bersosial selama enam bulan malah sepanjang tempoh itu saya juga tidak melakukan aktiviti olahraga, berlari atau bermain tenis yang sangat saya gemari.
“Semuanya kerana saya mahu berlatih menjiwai cara dan tertib pergerakan wanita zaman itu, termasuk tidak lagi mendengar muzik moden, sebaliknya tertumpu kepada gamelan dan irama klasik.
“Saya banyak berlatih sendirian di rumah dan berdisiplin sehingga langsung tidak membuka televisyen selain tidak memegang telefon bimbit ketika berlatih,” luahnya mengimbau memori sepanjang penggambaran naskhah lima episod berkenaan

Dasiyah luar biasa
Pengalaman yang disifatkan sebagai memori mahal tersebut dikongsikan ketika sidang media maya dari Jakarta, Indonesia yang turut disertai teman gandingan, termasuk Ario Bayu, Putri Marino dan Arya Saloka.
Paling mencabar buat jelitawan berusia 41 tahun itu tentu saja melatih dirinya supaya jarang berkedip saat berbicara dengan orang lain yang menjadi antara ciri khas karakter Dasiyah atau Jeng Yah.
“Selain latihan menulis tangan di rumah sebagai cara membiasakan diri mengehadkan pergerakan, saya juga perlu minimumkan kelipan mata.
“Tentu saja ini paling susah sebab saya orangnya yang paling banyak berkelip-kelip dalam satu ayat, sedangkan Dasiyah adalah wanita yang sangat tenang.
“Dalam novel tulisan Ratih Kumala, digambarkan apabila Dasiyah memasuki sesuatu ruangan, dia bagai punya magis. Begitu juga ketika berbicara dia seakan-akan mampu menhipnosis semua yang ada di hadapannya,” kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu.

Patuh disiplin
Nyata pengorbanan anak seni yang menyerlah menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta pada 2002 itu berbaloi melihatkan penampilannya dalam siri berkenaan.
Tegar dengan imej berkebaya tradisional yang melambangkan jati diri kemanisan wanita Jawa, di sebalik lengguk santun jiwa terselit kecekalan hati, dia satu-satunya wanita dalam dunia tembakau era tersebut.
Seperti diakui bintang ramah itu, menghidupkan watak wanita berjiwa patriotik pada era industri tembakau sedang berkembang juga mencetuskan pandangan berbeza dalam diri.
“Saya pernah bawa watak patriotik dalam beberapa karya terdahulu, tetapi kali ini karakter dilakonkan sangat berbeza 100 peratus dengan diri saya.
“Tidak banyak berinteraksi dan berkurung berbulan menjadi pencetus tekanan, namun saya belajar bahawa seorang pelakon perlu pasrah, berserah dan ikhlas kerana tugasnya adalah menyerahkan diri kepada karakter.
“Jadi kalau watak itu memerlukan kita patuh kepada disiplin tertentu, kita harus jalani semua itu dengan baik dan teratur bagi mendapatkan hasil yang maksimum,” ulasnya lagi yang terharu dengan respons khalayak.

Biar mempunyai lebih dua dekad pengalaman selain kerap membawa pulang trofi pengiktirafan, Dian percaya setiap pelakon memerlukan bimbingan guru sebelum masuk ke set.
Akuinya, tidak kira berapa panjang senarai trofi mahu pun judul naskhah dibintangi, setiap projek sama ada drama bersiri atau filem menuntut keperluan berbeza.
“Tidak bermakna seseorang penggiat seni yang sudah bertahun menabur bakat itu memiliki kekurangan seandainya berguru semula.
“Sebagai persediaan untuk Gadis Kretek, saya berasa sangat bertuah apabila pengarah filem ini, Kamilah yang juga tenaga pengajar berpengalaman memberikan bimbingan.
“Beliau seorang yang sangat teliti sama ada dari segi perwatakan setiap karakter serta latar untuk setiap babak dengan membina pelbagai set terutama kilang kretek.

“Sepanjang penggambaran, kami menggunakan 100 set di 20 lokasi yang tentu saja antara elemen’ wow’ dalam siri epik sarat nuansa cinta itu,” tambahnya dalam nada teruja.
Pada masa sama, Dian tidak mampu menyembunyikan kegembiraan melihat penerimaan pemain industri ketika Gadis Kretek ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan, pada Oktober lalu.
“Hati berbunga mendengar maklum balas penonton di festival gah itu yang menyatakan Gadis Kretek bukan kisah cinta biasa antara anak pengusaha kretek, Dasiyah dan pemuda bernama Soeraja.
“Pertemuan dua insan berbeza latar belakang itu membawa kepada kisah cinta yang disulami peristiwa bersejarah dengan akhirnya membentuk perjalanan hidup berbeza,” ujarnya menutup bicara.

















