fbpx
Pengguna memasuki kedai dan menggunakan kelengkapan tanpa dijaga pekerja.

K2

Kedai serbaneka tanpa pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEWAKTU keluar mencari makanan pada tengah malam itu, Amir Izzudin Amri, 23, terlihat ada sebuah kedai serbaneka yang masih dibuka di sekitar kawasan inap desanya berdekatan pusat beli-belah Pavillion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Dari jauh, tidak ada yang berbeza tentang kedai tersebut, namun apabila mendekatinya, jejaka asal Gemas, Negeri Sembilan itu pelik apabila melihat tiada pekerja di premis berkenaan.

Kerana ingin tahu, dia kemudian memasuki kedai tersebut, namun pintu automatiknya tidak terbuka.

Baginya, hal itu agak musykil kerana di dalam kedai ada beberapa orang pelanggan yang kelihatan di lorong rak barangan sedang memilih barang.

“Melihat saya bingung di depan pintu, salah seorang pelanggan menunjukkan sebuah tablet pengimbas muka yang berada di sebelah pintu dan saya perlu mengimbas wajah saya terlebih dahulu.

“Selepas itu, pintu baru terbuka dan saya agak kagum apabila melihat rupa-rupanya kedai itu ialah sebuah kedai serbaneka layan diri pintar yang mana pelanggan perlu menguruskan pembelian sendiri dan membayar di kiosk teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada K2.

Tambahnya yang bekerja di sektor swasta, untuk merasai pengalaman di kedai pintar dikenali sebagai Mondo tersebut, dia kemudian membeli beberapa makanan dan tidak menyangka kedai itu serba lengkap dengan pelbagai barangan keperluan harian.

Ternyata teknologi kini mampu mengubah cara hidup masyarakat. Kedai tanpa pekerja manusia dalam premis kini bukanlah suatu yang mustahil di Malaysia dengan adanya AI.

AI adalah cabang ilmu komputer yang memakai kemampuan mesin buat menuntaskan tugas serta kegiatan yang biasa dilakukan oleh manusia.

Teknologi ini mengumpulkan dan mengolah pelbagai data yang diterimanya menjadi informasi berguna agar bisa merampungkan tugas yang diberikan.

Sejarah AI berawal pada tahun 1950 oleh seorang ilmuwan matematik, Alan Turing yang mengeluarkan bukunya, Computing Machinery and Intelligence.

Teknologi itu kemudian dikaji dan dikembangkan oleh beberapa pihak korporat teknologi, namun tidak membuah hasil sehingga dunia memasuki era 1990-an menerusi pengekodan permainan video dan perisian serta penghasilan robot yang boleh berinteraksi dengan manusia.

Dalam perkembangan teknologi masa kini, AI sudah menjadi teknologi umum dan diterapkan dalam beberapa sektor perkhidmatan dan paling ketara adalah penggunaan

ChatGPT atau chatbot AI dalam perkhidmatan pelanggan.

Namun begitu, melihat potensi AI dalam sektor peruncitan, pengasas kedai pintar Mondo, Desmond Lam, meneroka teknologi itu dalam operasi kedai serbanekanya.

Pelanggan perlu mengimbas wajah bagi membolehkan diri memasuki kedai.

Menurutnya, idea membuka kedai dengan teknologi AI itu bermula semasa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.

Jelasnya, pada masa itu bukan hanya dia, tetapi semua rakyat Malaysia merasai pengalaman tidak dapat keluar dari lingkungan radius ditetapkan dan banyak kedai berdekatan tidak beroperasi.

“Keadaan itu amat menyukarkan ramai pihak yang memerlukan barangan untuk tujuan kecemasan dan mendapatkan keperluan makanan harian.

“Memikirkan aspek tersebut, tercetus idea untuk saya wujudkan kedai serbaneka yang boleh dibuka 24 jam tanpa memerlukan sebarang pekerja di premis,” katanya yang juga Ketua Pegawai Operasi kedai pintar Mondo.

Jelasnya lagi, selepas PKP tamat, dia kemudian melakukan penyelidikan untuk merealisasikan impiannya dan menemui solusi dengan penggunaan teknologi AI dalam operasi kedai serbanekanya.

Menjelaskan bagaimana AI berfungsi untuk kedai serbaneka, Desmond memberitahu, penggunaan teknologi itu melibatkan 70 peratus operasi kedainya.

Bermula dengan sistem jual beli, AI digunakan untuk mengimbas setiap barangan dan seterusnya memproses pembelian tanpa tunai menerusi imbasan kod QR, e-dompet atau kad bank.

Meskipun pembelian tidak mempunyai resit, AI secara automatik akan merekod pembelian dan transaksi bank atau e-dompet pelanggan sebagai rujukan jika barangan dibeli terdapat sebarang kerosakan.

AI juga digunakan dalam sistem keselamatan yang mana setiap pelanggan yang masuk perlu mengimbas muka agar pintu dapat dibuka dan sepanjang mereka ada di dalam, teknologi itu akan beroperasi menggunakan kamera litar tertutup untuk mengawasi gerak geri mereka.

“Jika berlaku sebarang kecurian, AI secara automatik akan mengecam wajah mereka dan menghalang pencuri keluar dengan tidak membuka pintu.

“Sistem ini juga dikenakan terhadap individu yang cuba menipu pembayaran seperti cuba menyeludup beberapa barang yang tidak diimbas bersama item yang dibayar,” ujarnya yang membuka kedai pertama Mondo di Senai, Johor pada tahun 2021.

Jelasnya lagi, selain itu, sistem AI turut digunakan dalam pengurusan jualan (back-end) yang mana bukan sahaja laporan jualan harian, setiap barang yang dijual di kedai juga direkod dengan teliti oleh AI merangkumi jumlah stok, tarikh luput dan lain-lain.

Kongsi Desmond, dalam bahagian ini setiap rekod akan menjadi rujukan AI untuk memaklumkan kepada pengurusan atau pembekal menerusi sistem notifikasi tentang kemas kini produk mereka.

“Selalunya tugas ini dilakukan pekerja kedai, namun semuanya sekarang hanya dioperasikan oleh AI yang mana ia juga dapat mengurangkan kerugian dan kesilapan dalam kemas kini barangan.

“Ia juga secara automatik merekod barangan yang laris dan sebaliknya di kedai sebagai rujukan pihak pengurusan untuk merancang pelan dan perkembangan perniagaan,” jelasnya.

Walaupun sebahagian besar AI digunakan dalam operasi kedai, terang Desmond dalam menguruskan sebuah perniagaan dia masih menggunakan tenaga manusia dalam unit pengurusan.

Menjalankan perniagaan bersama tiga lagi rakan niaga iaitu Datuk Seri Dzulkarnain Taib sebagai Presiden, Megat Yatin Megat Hamid (Timbalan Presiden) dan Veron Tan

Ning Xin (Ketua Pegawai Eksekutif), Desmond mengatakan bahawa sebagai sebuah organisasi, khidmat profesional pengurusan amat diperlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN