fbpx

Tiada peruntukan baharu promosi Malaysia Madani – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada peruntukan baharu yang disediakan bagi tujuan iklan dan promosi bagi menghebahkan pencapaian Malaysia Madani.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, iklan dan promosi ke atas kerajaan terkini hanya menggunakan peruntukan yang ditandatangani oleh kerajaan terdahulu.

“Bagi tempoh tiga tahun antara 2020 hingga 2022, perbelanjaan untuk kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan telah mencecah RM700 juta.

“Secara purata, lebih RM200 juta setahun dibelanjakan sepanjang dua pentadbiran yang lalu untuk menguar-uarkan usaha kerajaan melalui semua platform media massa termasuk media cetak, media sosial, radio dan televisyen.

“Mengambil kira komitmen kerajaan kini berbelanja dengan lebih berhemah, kami komited untuk mengurangkan perbelanjaan komunikasi berkaitan.

“Pada tahun ini, perbelanjaan setakat Oktober 2023 tidak mencecah RM100 juta dan itu pun berdasarkan kontrak yang telah dimeterai pada tahun lalu, iaitu sebelum Kerajaan Perpaduan mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang telah dibelanjakan untuk kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform sejak tahun 2020 hingga kini, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa sama Anwar berkata, beliau telah mengarahkan supaya perbelanjaan pada tahun hadapan dan selanjutnya dikurangkan bagi tujuan promosi serta publisiti hebahan kerajaan tidak melebihi RM100 juta setahun, iaitu tidak lebih separuh daripada apa yang dibelanjakan sebelum ini.

“Oleh itu bagi tahun 2024, saya telah arahkan supaya Kementerian Kewangan tidak meluluskan lebih daripada RM100 juta.

“Saya tidak fikir kerajaan harus dibebankan dengan iklan dan publisiti tambahan untuk promosi selain program-program turun padang dan penerangan menerusi media massa dan media sosial,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI