fbpx

[VIDEO] Konflik Palestin-Israel: ‘Ini bukan neraka, ini Gaza’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik oleh Muhammad Smiry di aplikasi X memaparkan api yang marak bersama kepulan asap tebal akibat bedilan peluru tanpa henti oleh rejim Zionis.

PETALING JAYA – ‘Ini bukan neraka, ini Gaza’. Demikian situasi yang digambarkan seorang wartawan warga Palestin, Muhammad Smiry di bumi Gaza ketika ini.

Menerusi hantaran di aplikasi X, beliau memuat naik empat foto memaparkan api yang sedang marak bersama kepulan asap tebal akibat bedilan peluru tanpa henti oleh tentera rejim Zionis Israel.

Dalam ciapan yang berbeza malam tadi, Muhammad Smiry menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengikutnya seluruh dunia apabila memberitahu itu adalah ciapan terakhirnya.

“Ini adalah mesej terakhir untuk malam ini. Harap saya boleh jumpa anda semua esok. Selamat malam dari Gaza,” ciapnya.

Pagi ini, para pengikutnya kemudian menarik nafas lega apabila Muhammad Smiry memuat naik ciapan memberitahu bahawa dirinya masih hidup.

Namun ujarnya, tiada roti mahupun sarapan yang boleh diambil untuk mengalas perut pada ketika itu.

Tidak lama selepas itu, dia memuat naik satu berita gembira bahawa jaringan telekomunikasi sudah kembali berfungsi di Gaza.

Walau bagaimanapun, ujarnya, ia tidak merangkumi akses internet tetapi hanyalah rangkaian selular seperti panggilan dan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).

“Apabila saya katakan telekomunikasi sudah kembali, ini tidak bermakna orang di sini akan mempunyai internet.

“Rangkaian Internet sudah tidak berfungsi di hampir seluruh Gaza. Ia hanya rangkaian selular (panggilan dan SMS). Tetap masih sukar untuk menghubungi atau menghantar mesej,” katanya.

Konflik perang antara Palestin dan Israel sudah memasuki hari ke-30 sejak bermula pada 7 Oktober lalu.

Menerusi statistik Kementerian Kesihatan Palestin, setakat pukul 12 tengah malam hari ini, seramai 9,770 mati syahid dan 24,808 cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI