fbpx

Penerangan cadangan pindaan Perlembagaan taraf kerakyatan akan dilakukan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika hadir pada MDX 2023 Grand Finale di MITEC hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen di blok kerajaan berkaitan cadangan pindaan Perlembagaan berhubung pemberian taraf kerakyatan.

Ini kerana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pindaan yang dicadangkan itu telah dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja sebelum ini.

“Ada had terhadap apa yang boleh kita lakukan. Selepas perbincangan, sebarang pindaan Perlembagaan dalam isu kerakyatan perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

“Jadi Majlis Raja-raja akan mengambil pendirian tertentu mengenainya, dan kita perlu menghormatinya. Kita perlu menjelaskan kepada Ahli Parlimen penyokong kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Digital Expo 2023 Grand Finale di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan termasuk Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee menerusi X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) mendakwa ada pihak yang tidak senang dengan cadangan pindaan itu.

Kerajaan bercadang untuk membentangkan satu pindaan bertujuan menyelesaikan isu berhubung taraf kewarganegaraan bagi anak-anak dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara, yang bersuamikan warga asing.

Rang Undang-Undang (RUU) itu belum dibentangkan ke Dewan Rakyat, namun pihak berkepentingan yang menghadiri sesi libat urus kerajaan mengenai RUU itu meminta Ahli Parlimen meneliti beberapa kelemahan dalam RUU itu.

Menurut Perikatan Hak Kewarganegaraan Malaysia (MCRA), RUU itu akan mempunyai tujuh pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang mana dua daripadanya bertujuan memberi hak sama rata kepada ibu warga Malaysia untuk memberikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI