fbpx

‘Abang guard’ India jadi cikgu gamelan, ajar murid 5 sekolah di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid-murid tekun mendengar penerangan daripada Nicholas semasa sesi pembelajaran gamelan di sebuah sekolah di Iskandar Puteri, Johor.

Lazimnya, muzik gamelan dimainkan oleh masyarakat Melayu di negara ini, namun keindahan lantunan bunyinya membuatkan hati seorang pemuda berketurunan India jatuh cinta kepadanya.

Ketika ramai orang Melayu khususnya anak muda tidak lagi begitu mengenali apatah lagi tahu memainkan gamelan, seorang pemuda India, B. Nicholas meraih perhatian media dengan kemampuannya memainkan gamelan.
Bukan sekadar itu, lelaki tersebut bahkan mengajarkannya kepada murid-murid sekolah di sekitar Iskandar Puteri, Johor.

Nicholas, 23, mengakui mula jatuh cinta terhadap muzik alam Melayu apabila dia sering mendengar lagu dan muzik yang didendangkan seniman agung tanah air, Tan Sri P. Ramlee ketika dia masih kecil.

Jelasnya, semasa bersekolah lagi minatnya dalam bidang kemelayuan sudah dapat dilihat melalui penglibatannya dalam seni bela diri silat sekali gus bermulalah episod cintanya terhadap gamelan.

“Semasa di bangku sekolah, saya aktif dalam seni bela diri silat dan daripada situ saya kerap mendengar muzik gamelan hingga lama-kelamaan tertarik dengan bunyinya yang bagi saya sangat unik dan mengasyikkan.

“Sebenarnya saya memang sudah terbiasa dengan tradisi dan budaya orang Melayu, sebab itu tidak rasa kekok, malah sejak kecil ramai kawan Melayu dan bersekolah juga di sekolah kebangsaan.
“Datuk pula seorang askar. Jadi apabila di rumah, bahasa harian ahli keluarga kami ialah bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Medini, Iskandar Puteri.

Nicholas juga berjaya membawa beberapa murid sekolah ke puncak jaya apabila ada antaranya mewakili negeri Johor dalam pertandingan gamelan peringkat kebangsaan.

Dek kerana minat mendalam pada kesenian muzik tradisional Melayu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, selepas tamat sekolah menengah, dia menyambung pelajaran dalam bidang seni muzik.

Kini, dia sudah memiliki Diploma Seni Muzik dari ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Usai mengikuti kuliah, pemuda yang berasal dari Bukit Katil, Melaka berkata, bakat kesenian yang ada dalam jiwanya itu dihargai oleh guru besar serta ibu bapa murid-murid beberapa buah sekolah sekitar Iskandar Puteri sejak tahun 2017.

Antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1, SK Medini, SK Ladang Pendas, SK Nusantara dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah.

Dia yang merupakan seorang pengawal keselamatan sekolah dipanggil untuk menjadi tenaga pengajar sebagai guru muzik sambil menurunkan ilmu muzik gamelan kepada murid sekolah rendah dan menengah.

Hingga kini, pemuda itu melatih kira-kira 50 pelajar bermain alat muzik gamelan iaitu gong, gendang ibu, gendang anak, saron baron, jidor, serunai dan kerincing.

Katanya yang dipanggil Cikgu Nick oleh para murid, dia mengajar gamelan pada setiap Khamis dan Jumaat di sekolah berkenaan, manakala pada hari biasa bekerja sebagai pengawal keselamatan di SK Medini.

Usaha yang diibarat melentur buluh biar dari rebungnya itu sedikit demi sedikit membuahkan hasil apabila sebahagian pelajarnya berjaya mewakili Johor ke pertandingan gamelan peringkat kebangsaan serta memenangi beberapa anugerah.

 

Artikel ini merupakan artikel rencana untuk membaca penuh sila layari https://www.kosmo.com.my/2023/11/05/pemuda-india-jatuh-cinta-main-gamelan/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI