JELI – Kira-kira 50 pelajar didakwa mengalami histeria selepas melakukan aktiviti keagamaan dalam kejadian di sebuah sekolah ber-asrama di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku selepas kumpulan pelajar terbabit mengadakan program bacaan surah Yasin pada malam tersebut.
Ibu salah seorang pelajar dikenali sebagai Azira, 45, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anaknya yang terdengar bunyi bising pelajar menjerit.
Menurutnya, anaknya turut memaklumkan suasana ketika itu agak kelam kabut dengan setiap pelajar menghubungi ibu bapa masing-masing.
“Wakil pihak sekolah ada melaungkan azan untuk meredakan keadaan pelajar yang terlibat dengan histeria.
“Nasib baik anak saya tidak terlibat dengan kejadian itu dan saya tidak berasa bimbang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Katanya, anaknya menceritakan dia terdengar jeritan dan suara meraung sebelum disedari oleh pihak sekolah.
“Saya difahamkan seorang ustaz dari sekolah terbabit melaungkan azan dan secara tiba-tiba pelajar berkenaan menjadi marah-marah dan mengalami muntah-muntah.
“Saya dimaklumkan sepatutnya pelajar pulang dan pada malam itu mereka dikehendaki bermalam di surau,” katanya.
Azira berkata, pihak sekolah memberitahu agar ibu bapa tidak perlu risau dengan kejadian yang berlaku itu.
Sebelum ini, pada 22 Julai 2019, seramai 20 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan tiba-tiba diserang histeria dalam kejadian pada sesi perhimpunan pagi kira-kira pukul 7.30 pagi.
Pada 17 Ogos 2022 pula, seramai 25 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Kepala Batas, Pulau Pinang diserang histeria pada pukul 11.30 pagi selepas pihak sekolah membawa keluar beberapa peralatan muzik lama yang disimpan dari salah sebuah bilik di sekolah berkenaan.
Seramai 165 pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kikir (Model Khas), diberikan cuti selama lima hari pada 20 April 2024 berikutan kejadian histeria yang berlaku di sekolah terbabit.
Seramai 25 pelajar perempuan, manakala 12 pelajar lelaki sekolah berasrama di Pengkalan Hulu, Perak turut terkena serangan histeria pada 29 Julai 2025.














