fbpx

82 peratus graduan IKN berjaya tembus pasaran kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(DARI kanan) Mohamad Amirul, Fatimah Nadia dan Izhar Hakimi pada Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia meraikan seramai 115 graduan sempena Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) ke-21 yang berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, kelmarin.

Istiadat konvokesyen itu melibatkan seramai 72 graduan diploma, lapan graduan sijil dan 27 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) meliputi bidang Seni Kraf Batik, Seni Kraf Tenunan, Seni Kraf Seramik, Seni Kraf Kayu, Seni Kraf Logam serta Seni Kraf Rotan.

Selain itu, seramai lapan gra­duan daripada Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam turut mene­rima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bagi tempoh 2001 hingga 2022, IKN telah melahirkan seramai 2,892 graduan dengan 82 peratus daripadanya berjaya me­nembusi pasaran kerja dalam pelbagai bidang.

“Saya percaya keusahawan dalam bidang kraf dapat menjana pendapatan. Ini dapat dilihat menerusi jualan kraf sehingga September 2023 yang mencapai RM250.1 juta sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 19 peratus.

“Bagi menyokong perkara ini, kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti Madani di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk sektor jahitan dan kraftangan.

“Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya menerusi teks yang dibacakan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Dalam pada itu, seramai tiga orang dinobatkan Anugerah Graduan Terbaik keseluruhan iaitu Mohamad Amirul Shafiq Shaari bagi program Diploma Seni Kraf Kayu, Izhar Hakimi Isrunisyam (Sijil Seni Kraf Kayu) dan Fatimah Nadia Mohd. Puldin @ Amir (SKM Penyelia Tenunan Songket dan Daster).

Mohammad Amirul berkata, dia sangat bersyukur dan bangga dengan pencapaian tersebut yang menjadi idamannya sejak menuntut di IKN pada 2019.

“Alhamdulillah ini rezeki saya. Saya pun tak sangka kerana sewaktu ambil sijil dahulu, saya terlepas peluang ini. Jadi, kali ini saya berjaya buktikan kepada diri sendiri termasuk kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.

Meskipun baru sahaja bergelar graduan, anak kelahiran Kelantan itu memberitahu bahawa dia sudah menerima tawaran daripada inkubator untuk menjadi seorang usahawan dalam bidang seni kraf kayu.

Pada masa sama, majlis tersebut yang berlangsung serentak dengan program Pasareka 2023 memaparkan pelbagai pameran dalam kalangan pelajar, (alumni) tenaga pengajar IKN termasuk Adiguru Kraf.

Seorang pempamer yang juga tenaga pengajar serta alumni Jurusan Seni Kraf Kayu IKN, Severinus Emor berkata, IKN merupakan satu platform yang terbaik kerana ia bukan sahaja menawarkan ilmu kemahiran, malah turut mendedahkan ilmu seni tradisional yang semakin sukar ditemui.

Severinus yang berasal dari Keningau, Sabah telah menggapai pelbagai pencapaian dan pernah memenangi pelbagai pertandingan anjuran kerajaan mahupun agensi swasta. Beliau juga banyak menimba ilmu berkaitan ukiran kayu dengan Tokoh Kraf Negara iaitu Norhaiza Nordin.

“Boleh dikatakan hampir 30 tahun penglibatan saya dalam bidang ini kerana ukiran kayu ini mempunyai makna dan simbolik yang terlalu dalam. Proses pembuatannya bukan sahaja berseni tapi sebenarnya menampilkan banyak maksud yang tersirat,” ujarnya.

Severinus Emor
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI