fbpx

Suspek rempuh kereta polis positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Suspek yang bertindak merempuh kenderaan polis sehingga memaksa anggota terbabit melepaskan dua das tembakan ke arah keretanya dalam kejadian di Bukit Mertajam di sini, malam semalam disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Suspek berusia 20-an yang memandu kereta jenis Proton Wira bewarna putih itu diberkas polis ketika melalui jalan mati di Taman Bukit Indah.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu ketika suspek dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Kulim Hi-Tech, Kedah.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek ketika itu diminta berhenti oleh anggota kereta peronda polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

“Suspek kemudiannya bertindak memecut ke arah kawasan Bukit Mertajam semasa anggota polis menghampiri kenderaan terbabit.

“Semasa berada di jalan Taman Bukit Indah, suspek telah melalui jalan mati dan anggota polis mengarahkan suspek supaya menyerah diri.

“Namun suspek bertindak membuat pusingan ‘U’ dan terus memecut ke arah anggota MPV serta melanggar bahagian hadapan kereta peronda polis,” katanya kepada pemberita, sebentar tadi.

Dalam kejadian itu katanya, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan bagi tujuan mempertahankan diri dan mengenai bahagian tayar hadapan kereta suspek sebelum terbabas.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki enam rekod kesalahan lampau dan satu rekod orang dikehendaki oleh IPD Kulim.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu suspek mendapati ia dilaporkan hilang di Nibong Tebal semalam (2 November).

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI