fbpx

Jenayah seksual, siber meningkat berbanding 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bilangan kes jenayah seksual meningkat 2.9 peratus dengan 3,303 kes pada tahun lalu berbanding 3,209 kes pada 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin, berkata, kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada tahun lalu iaitu sebanyak 9.6 peratus.

“Walau bagaimanapun, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi jenayah indeks dan jenayah komersial, beliau berkata, masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus kepada 50,813 kes dan 30,536 kes pada 2022.

“Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda di mana kedua-dua jenayah ini masing-masing menunjukkan penurunan 10 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kesemua jenis kesalahan di bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.

Katanya, jenayah siber meningkat 44.3 peratus kepada 577 kes daripada 400 kes dalam tempoh yang sama.

“Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2 peratus) diikuti pecah amanah (911 kes; 3.0 peratus) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7 peratus).

“Bagi kes berkaitan dadah meliputi membekal dadah, memiliki dadah dan positif ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus kepada 141,289 kes pada 2022.

“Kesalahan membekal meningkat sebanyak 18.0 peratus, memiliki dadah meningkat sebanyak 35.1 peratus dan positif ujian urin meningkat 31.2 peratus berbanding 2021 manakala bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan oleh PDRM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI