fbpx

Jejak warisan Pawang Nong di Ulu Cheka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pengunjung membaca papan tanda mengenai sejarah hidup Pawang Nong di depan Galeri Warisan Pawang Nong, Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

LEMBARAN sejarah Pahang menyaksikan kebangkitan tokoh-tokoh tempatan melawan pendudukan British.

Antara nama-nama tokoh terbilang yang sering terbit di bibir orang ramai adalah Datuk Bahaman, Datuk Lela, Mat Kilau dan Tok Gajah.

Terdapat seorang lagi pahlawan yang memiliki jasa besar terhadap negeri tersebut, namun namanya kurang didendangkan.

Tokoh tersebut ialah Pawang Nong atau nama sebenarnya, Nong Taib Santan.

Beliau merupakan pengikut dan anak didik Mat Kilau yang memiliki kemahiran mengubati pesakit melalui kaedah tradisional.

Pawang Nong cukup terkenal dengan kebijaksanaannya menangani krisis sewaktu negara dijajah oleh Jepun dan komunis.

Bagi mengenang jasa figura tersebut, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ulu Cheka, Pahang membuka Galeri Warisan Pawang Nong.

Terletak berhampiran bangunan RTC Ulu Cheka, Jerantut, galeri tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris pada 2016.

Menurut Ketua Kampung Ulu Cheka Kelima, Ahmad Shah Jamlus, galeri mini tersebut dibuka bagi mengabadikan legasi pengasas kampung itu.

“Pawang Nong mengasaskan Kampung Ulu Cheka pada 1907 bersama tujuh sahabat.

SEBAHAGIAN peserta Tourism Malaysia yang melawat Galeri Warisan Pawang Nong baru-baru ini.

“Beliau bertanggungjawab menjaga kampung ini daripada ancaman penjajah.

“Demi memastikan jasa beliau tidak hilang ditelan zaman, kami membuka galeri ini kepada pengunjung untuk melihat sendiri artifak dari zaman beliau.

“Semua artifak yang dipamerkan di galeri ini mendapat pengesahan daripada Muzium Pahang,” katanya kepada Horizon.

Antara peristiwa terbesar adalah jasa Pawang Nong menyelamatkan seorang pembesar Pahang yang menjadi tebusan pihak komunis di Tong Kiat atau kini dikenali sebagai Sungai Jerik, Maran.

Bagi menghargai jasanya itu, Sultan Pahang ketika itu iaitu Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Muazzam Shah memberi gelaran Pawang Diraja kepada Pawang Nong.

Semenjak itu, Pawang Nong bukan saja sebagai sumber rujukan kepada baginda, tetapi kepada pemimpin lain termasuk Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Justeru, satu bahagian kecil di galeri itu didedikasikan untuk silat Melayu Pahang iaitu seni bela diri yang turut diamalkan oleh Pawang Nong.

Selain itu, terdapat bahagian yang mempamerkan tiga pertempuran besar di Kampung Ulu Cheka iaitu pertempuran Perlok pada 1948, Kuala Terbol (1952) dan Bukit Batu (1952).

Selain koleksi berkaitan Pawang Nong, terdapat juga pelbagai artifak penduduk kampung dari 1907 hingga 1980-an yang dipamerkan di situ.

Ini termasuk peralatan pertanian, memancing, peralatan memasak serta set pakaian perkahwinan tradisional Melayu dari 1960-an.

Tambah Ahmad Shah, pengunjung juga boleh menziarahi makam Pawang Nong yang terletak di masjid Kampung Ulu Cheka.

“Bagi mereka yang berhajat untuk melawat makam Pawang Nong, mereka boleh datang ke masjid. Makam ini terletak di dalam perkarangan masjid. Pengunjung dinasihati memakai pakaian sopan ketika menziarah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI