JERANTUT – Pemilik gerai Bubur Berlauk 21 Sudu di Jalan Bidai, di sini tidak menyangka menu baharu, mi sup lembu tujuh rempah tumis darat yang diperkenalkan sempena Ramadan kali ini mendapat sambutan daripada orang ramai.
Menurut Wan Shahnizam Wan Ishak, 38, sebelum ini gerainya menjual bubur nasi berlauk dengan pelbagai ‘topping’ yang sudah dikenali oleh penduduk sekitar daerah ini.
“Ramadan kali ini saya cuba menjual menu baharu iaitu mi, bihun atau kuetiau sup. Apa yang menarik ialah kaedah memasak sup lembu itu menggunakan tujuh rempah darat atau rempah ditumis secara berasingan.
“Rempah-rempah itu adalah serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih, lada hitam, bunga cengkih, kulit kayu main dan bunga lawang yang ditumis sehingga separuh garing sebelum dicampur dalam rebusan sup daging lembu sedang menggelegak,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Katanya, semua ramuan tersebut akan memberikan aroma yang menyedapkan lagi sup daging lembu.
“Rata-rata pelanggan saya teruja apabila mi sup mereka diletakkan segenggam daging sup lembu di atasnya. Segenggam daging itu kira-kira 90 gram beratnya bagi setiap hidangan berharga RM12 semangkuk.
“Lebih istimewa selain lobak masin, bawang goreng dan daun sup, menu ini turut menampilkan minyak cili sebagai penambah perasanya. Ramai pelanggan memuji paduan rasa bahan-bahan itu membuatkan mi sup lembu tujuh rempah darat ini lain daripada yang lain,” katanya.
Kata anak jati Jerantut itu, berikutan mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan dia bercadang untuk menjual menu tersebut ketika waktu moreh.
“Ketika Ramadan ini, waktu perniagaan Bubur Berlauk 21 Sudu antara pukul 3 petang sehingga 7 malam. Namun, bermula Khamis ini atau 10 malam terakhir Ramadan kami akan melanjutkan waktu berniaga sehingga pukul 11.30 malam,” katanya.














