fbpx

6 lelaki tak sempat seludup diesel ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohizan ketika sidang akhbar tangkapan dan rampasan minyak diesel di Pangkalan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan enam lelaki termasuk dua warga Thailand dalam operasi di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel subsidi ke Thailand.

Dalam operasi kira-kira pukul 7.30 pagi itu, polis turut merampas empat lori tanker serta minyak diesel yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara gajah putih terbabit.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, polis telah menjalankan serbuan ke atas premis perniagaan di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam yang dipercayai menjadi tempat penyeludupan minyak diesel ke Thailand.

“Ketika serbuan, empat suspek lelaki tempatan serta dua suspek lelaki Thailand berusia 23 hingga 60 tahun berada di dalam premis berkenaan.

“Dua lelaki Thailand ini dipercayai menjadi pemandu lori tanker dan mereka membawa minyak-minyak diesel yang telah diseludup untuk dijual di negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Pasukan Polis Marin Wilayah 1 di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam operasi itu polis telah merampas 131,040 liter minyak diesel berjumlah RM543,816 dan turut merampas empat lori tanker, pam minyak, hos paip dan nozel hos pam yang keseluruhannya berjumlah RM1.2 juta.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak empat bulan lalu dan ahli sindiket mendapatkan minyak diesel dari stesen minyak di Kedah dan Perlis.

“Ahli sindiket akan mengisi minyak diesel subsidi dengan menggunakan lori jenis ‘bounded‘ dan kemudian mereka memindahkannya ke lori tanker yang diletakkan di premis perniagaan di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI