fbpx

Kongsi gelap makin ‘besar kepala’, rekrut pelajar sekolah di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Geng kongsi gelap di negeri ini semakin berleluasa merekrut ahli baharu membabitkan pelajar sekolah untuk terlibat melakukan aktiviti jenayah kumpulan terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, geng kongsi gelap ini semakin ‘besar kepala’ dalam merekrut ahli baharu sehingga bertindak membelasah pelajar yang enggan menyertai mereka.

Beliau berkata, pihaknya mengesan dua kejadian pelajar sekolah menengah dipukul dan direkrut untuk memasuki kumpulan kongsi gelap bernama Geng Hong Hong San dan Ngo Sek Kee.

Katanya, pihaknya turut mengesan satu video berdurasi 41 saat mengenai kejadian pergaduhan yang tular di laman sosial media antara dua kumpulan lelaki tempatan di Muar, baru-baru ini.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pada 5 hingga 22 Oktober lalu, satu operasi dilancar dibawah Op Cantas terdiri daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Kongsi Gelap Bukit Aman dan Bahagian D7 Kontinjen Johor bagi menangkap ahli-ahli kongsi gelap yang terlibat.

“Operasi yang turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang, Iskandar Puteri dan Kulai melakukan beberapa siri tangkapan di Selangor, Pahang, Melaka, Muar dan Johor Bahru.

“Hasil serbuan berjaya menangkap seramai 25 lelaki tempatan berusia diantara 14 hingga 58 tahun yang merupakan ahli Geng Hong Hong San, Ngo Sek Kee dan juga Gee Ah Eng,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Bagi kes merekrut pelajar sekolah, Kamarul Zaman berkata, beberapa geng kongsi gelap di negeri ini telah dikenal pasti melakukan perbuatan yang menggalakkan kepada gengsterisme dalam kalangan pelajar.

Mengulas mengenai video tular itu, beliau berkata, siasatan awal mendapati pergaduan berpunca akibat perselisihan faham menyebabkan mereka bertengkar mulut yang membawa kepada pergaduhan di majlis sambutan Moon Cake Festival di sebuah premis kedai kopi di Sungai Abong.

Katanya, hasil pemeriksaan tubuh badan mendapati tiga suspek mempunyai tatu yang ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI