fbpx

Pulapot, ARW bakal berpindah ke kompleks baharu di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (berdiri, tengah) ketika menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem PULAPOT, Unit Army Red Warrior, Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja dan SASaR di Putrajaya hari ini

PETALING JAYA – Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (Pulapot) dan Markas Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) bakal berpindah ke kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa di Mukim Si Rusa, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan hari ini berkata, perpindahan itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan semula aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Pulapot, ARW dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan berkaitan yang kini bertempat di kem Genting Klang, Kuala Lumpur.

Jelas kenyataan tersebut, kompleks di Port Dickson itu akan dilengkapi Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, dewan serbaguna, kemudahan bilik latihan, kemudahan bilik penginapan, padang kawad, sirkit menempuh halangan, lapang sasar pistol dan kemudahan lain yang memberi manfaat kepada Pulapot dan ARW.

“Majlis menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pulapot, ARW dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) berlangsung di Perdana Putra hari ini yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perjanjian yang melibatkan Mindef, Syarikat Tanah dan Harta Sdn Bhd, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan Platinum Victory Development Sdn Bhd itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, di bawah perjanjian tersebut, pembinaan SASaR kem Wardieburn di Kuala Lumpur menawarkan 974 unit rumah yang berkeluasan 1,400 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi manakala SASaR kem Genting Klang menawarkan 6,400 unit rumah yang berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi.

Pembinaan perumahan SASaR merupakan inisiatif Mindef bagi memberi peluang kepada warga kerja pertahanan yang terdiri daripada anggota ATM, warga veteran ATM dan warga kerja awam di kementerian itu untuk memiliki rumah yang selesa di Kuala Lumpur di bawah harga pasaran.

“Pembangunan aset ATM dan pembangunan perumahan itu adalah selari dengan matlamat kerajaan untuk menjaga kebajikan warga kerja pertahanan bertunjangkan konsep Malaysia Madani.

“Pembangunan tersebut bakal memberi faedah bukan sahaja kepada warga tentera tetapi turut meliputi ahli keluarga dan masyarakat sekitar kem,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI