fbpx

Mayat lelaki ditemui dengan kesan tetak pada tengkuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mayat mangsa yang dijumpai tertiarap di tepi jalan arah Kampung Sirako-Tebing Tinggi di Kupang, Baling hari ini.

BALING – Seorang lelaki warga asing ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan tetakan pada tengkuk di tepi jalan arah Kampung Sirako – Tebing Tinggi di Kupang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan tentang penemuan mangsa pada pukul 9.30 pagi tadi.

Katanya, mayat mangsa berusia lingkungan 40-an ditemui berhampiran sebuah motosikal jenis Suzuki Best dalam keadaan tumbang pada jarak kira-kira satu meter.

“Tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada badan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, polis kemudian membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan dan lima warga asing di kawasan kebun sayur terletak kira-kira dua kilometer dari situ pada pukul 1.30 tengah hari tadi.

“Mereka ditahan untuk soal siasat selain warga asing didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” ujarnya.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan dapat membantu siasatan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Baling di talian 04-4708222 atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Tan See Yean di talian 019-6687687 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI