fbpx

Mahkamah: Pemilik kilang kitar semula menangis rayu hukuman ringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang pemilik kilang plastik kitar semula menangis ketika merayu belas ihsan Mahkamah Sesyen hari ini agar dikenakan hukuman ringan atas pertuduhan merasuah RM8,000 jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) antara 2019 hingga 2021 lalu.

Rasuah itu dilakukan bagi mengelakkan tindakan selepas mencuri dan melakukan pengubahsuaian meter elektrik kilang tersebut.

Ng Yin Wui, 41, terdahulu mengaku bersalah bagi lima pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi denda RM20,000 bagi semua pertuduhan selain memerintahkan penjara 20 bulan kepada bapa enam anak itu sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan fakta kes, dua jurutera TNB telah memeriksa kilang tertuduh dan mendapati berlaku kes kecurian elektrik.

Tertuduh sebagai pengarah syarikat itu, telah bertemu ejen berkenaan dan menawarkan rasuah termasuk bayaran bulanan supaya tiada tindakan diambil di masa depan.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Yin Wui didakwa memberi suapan keseluruhan berjumlah RM 8,000 kepada jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak memotong bekalan elektrik di premisnya bagi kesalahan mencuri serta mengubah suai meter elektrik.

Perbuatan itu dilakukan di dua restoran di Sunway Mentari, di sini antara 1 November 2019 hingga 15 November 2021.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.

Yin Wui yang tidak diwakili peguam memaklumkan mempunyai penyakit slic disc dan perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

“Harap tidak dihukum penjara kerana saya juga perlu menjaga ibu dan isteri yang menghidap masalah tumor.

“Saya ada enam anak yang masih bersekolah antara darjah satu hingga tingkatan tiga,” katanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), V Yunaisvari menegaskan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran serta amaran buat masyarakat agar tidak terlibat dalam rasuah.

” Langkah-langkah pencegahan perlu diperketatkan dan ditekankan kepada masyarakat bahawa mahkamah serta undang-undang tidak akan berkompromi dengan kesalahan ini,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI