fbpx

Mahkamah: Dua rakan terlepas hukuman mati edar ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EFFY SHARAFFI (kiri) dan Indra Ironi (tengah) dibebas dan dilepaskan atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di Skudai Parade, Johor Bahru, tiga tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Dua sahabat terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di sebuah pusat beli-belah di Skudai tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu ke atas Effy Sharaffi Muszali, 28, dan Indra Ironi Nasrun, 27, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes itu di akhir pendakwaan.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengedar ganja seberat 455 gram di tempat letak kereta di tingkat dua pusat beli-belah Skudai Parade pada 6 petang, 16 Julai 2020.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama.

Bagi perbuatan itu, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Noor Hayati dalam penghakimannya berkata, rantaian bukti terhadap barang kes itu terputus selepas pihak pendakwaan tidak dapat memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.

“Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai pengetahuan terhadap barang kes yang ditemui di bahagian bawah stereng sebuah kereta itu,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nasrudin Mohamed manakala Effy Sharaffi diwakili peguam, Nur Helmi A Halim. Indra Ironi diwakili peguam, Mohd. Tarmeze Mohd. Taib dan Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Dalam pada itu, Noor Hayati turut memerintahkan Effy Sharaffi untuk membela diri bagi pertuduhan memiliki ganja seberat 10.14g di tempat dan lokasi sama. Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman penjara maskimum lima tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Effy Sharaffi menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan itu. Nur Helmi berkata, ini merupakan kesalahan pertama dia didakwa dan pengakuan bersalah itu untuk menjimatkan masa semua pihak setelah berada dalam tahanan sejak tiga tahun lalu.

Noor Hayati memerintahkan lelaki itu dipenjara tiga tahun dari tarikh tangkapan pada 16 Julai 2020. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI