fbpx

MAIWP bantu usahawan trak makanan dengan pembiayaan tanpa faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im bergambar bersama 10 usahawan 'food truck' MAIWP pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mobilepreneur MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 10 usahawan asnaf trak makanan, atau food truck menerima mobile truck melalui pembiayaan al-Qard tanpa faedah di bawah program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk tempoh tiga tahun.

Menerusi insentif itu, usahawan akan dibantu pihak MAIWP untuk bayaran deposit sebanyak RM26,820 atau 30 peratus daripada jumlah pembiayaan, melibatkan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM268,200.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pembiayaan al-Qard tanpa faedah itu adalah melalui CSR Britay Asia (Malaysia) Sdn. Bhd., dengan harga sebuah kenderaan adalah RM89,400.

“Baki RM62,580 disediakan oleh pihak Britay Asia Malaysia Sdn. Bhd. dalam bentuk pembiayaan tanpa faedah yang akan dibayar oleh usahawan dalam tempoh tiga tahun, sebelum kenderaan itu akan menjadi milik usahawan.

“Kerjasama strategik ini, termasuk insentif diberikan oleh MAIWP dapat meringankan beban usahawan dan memberi motivasi untuk terus berjaya dalam perniagaan serta dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

Mohd. Na’im menandatangani poster Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mobilepreneur MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mobilepreneur MAIWP kepada 10 usahawan asnaf di Menara MAIWP, Chow Kit di sini, semalam.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd. Nizam Yahya, Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Mohd. Na’im berkata, sehingga kini, MAIWP mempunyai lebih 20 usahawan trak makanan yang masih aktif dan sebahagian daripada mereka terlibat secara langsung dengan program Pembekalan Makanan Berbungkus di Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Awam (PA), Presint dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Wilayah Persekutuan anjuran MAIWP.

Mohd. Na’im Mokhtar (kiri) bersama salah seorang usahawan trak makanan melayan pelanggan pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mobilepreneur MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program tersebut secara tidak langsung dapat menjalinkan kerjasama dan hubungan baik antara MAIWP dengan golongan asnaf, serta menjalankan tanggungjawab zakat kepada asnaf yang memerlukan selaras konsep Malaysia Madani.

“Tanpa komitmen pembayar zakat, sudah tentu program insentif seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT,” katanya.

Mohd. Na’im berkata, sehingga kini MAIWP menyediakan 30 skim bantuan zakat meliputi aspek kebajikan, pendidikan, perubatan, tempat tinggal, keusahawanan dan pembangunan ummah kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Tidak terhenti dalam pengagihan zakat, MAIWP sentiasa melihat pendidikan dan bimbingan, khasnya dalam bidang keusahawanan termasuk bantuan perniagaan sebagai usaha dalam membebaskan asnaf daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Mohd. Na’im menyaksikan penyerahan replika cek daripada Mohd. Nizam Yahya (kanan) kepada Pengarah Urusan Britay Asia, Zubir Mohd. Isa (kiri) pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Mobilepreneur MAIWP di Menara MAIWP, Kuala Lumpur.

Berhubung 10 usahawan asnaf trak makanan terlibat, pelbagai menu makanan diusahakan mereka, antaranya pisang goreng (topping) dan gorengan, kuih-muih, pelbagai jenis nasi, cendol sawit dan ayam gunting.

Sementara itu, pengusaha Saudagar Nasi Kukus, Nik Muhammad Aqim Mohd. Zaki, 33, berkata, dia bersyukur serta berterima kasih kepada MAIWP apabila terpilih sebagai usahawan trak makanan dan buat masa ini masih merancang untuk menentukan lokasi jualan nasi kukusnya.

“Saya menjual nasi kukus berharga RM8 di gerai yang dibuka di Tasik Titiwangsa dan Pudu, malah isteri saya terlibat sama memasak. Untuk trak makanan ini saya belum tahu lagi mahu beroperasi di mana.

“Dengan adanya trak makanan ini juga, selepas ini saya boleh menyertai acara atau program untuk jualan makanan,” katanya yang juga bapa kepada tiga anak berusia enam dan dua tahun serta tujuh bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI