fbpx

Bernas sedia 4 juta hidangan Promak sejak Januari tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tiga dari kiri) dan Rohani (empat kiri) melakukan gimik pelancaran Program Makanan Kesihatan (Promak) Riang Ria Nutri peringkat negeri Kedah di AIU, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Seramai 20,000 murid daripada keluarga kurang berkemampuan dari 93 sekolah rendah terpilih di negeri ini, Perlis, Kelantan dan Terengganu menerima manfaat daripada Program Makanan Kesihatan (Promak) sejak Januari tahun lalu.

Inisiatif bantuan sosial berbentuk makanan tengah hari seimbang secara percuma itu dilakukan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setakat ini sebanyak empat juta hidangan makanan tengah hari bernilai RM6 seorang telah disediakan kepada murid terlibat pada setiap hari persekolahan.

“Kedah merupakan negeri terbesar menerima bantuan Promak melibatkan 45 buah sekolah dengan lebih 10,000 murid menikmati makanan berkhasiat Promak.

“Hidangan makanan tengah hari di bawah Promak mencakupi piramid makanan yang seimbang berdasarkan nasihat dan piawaian dari KKM serta dipantau pihak sekolah dan penyedia pemakanan bertauliah yang dilantik dalam memastikan makanan tengah hari disediakan bernutrisi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Promak Riang Ria Nutri peringkat negeri Kedah di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) di sini hari ini. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hadir melancarkan majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Bernas juga menjalankan kajian impak ke atas 45 sekolah Promak di Kedah dari Julai tahun lau hingga Januari tahun ini ke atas kehadiran murid.

“Berdasarkan kajian kami, purata kehadiran murid untuk setiap bulan meningkat sebanyak lima peratus iaitu daripada 84 peratus kepada 89 peratus sejak Promak diadakan.

“Hasil tinjauan dan maklum balas tersebut turut mendapati melalui pelaksanaan Promak di 45 sekolah berkenaan, ia berjaya meningkatkan penyertaan murid dalam aktiviti luar kelas, memberi impak positif terhadap kecergasan mereka serta turut mengukuhkan fokus ketika sesi latihan dan pertandingan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI