fbpx

Sempat ajar isteri dua kalimah syahadah sebelum dijemput Ilahi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Firdaus menunjukkan gambar terbaharu isterinya yang diberikan sebelum mangsa maut dalam kemalangan.

ALOR SETAR – “Selepas beberapa kali mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, isteri sudah tidak lagi bergerak. Saya sangka dia pengsan, namun petugas kesihatan mengesahkan isteri telah meninggal dunia.”

Peristiwa hiba itu dikongsikan Mohamad Firdaus Roslan, 34, ketika mengenang kembali detik-detik terakhir bersama isterinya, Nur Shafiqah Abdullah, 32, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Kedah, dekat sini pada pukul 7.05 malam tadi.

Nur Shafiqah maut selepas motosikal dinaiki bersama kakaknya dirempuh sebuah Proton Satria dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun selepas kereta itu hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan sebelum masuk ke arah bertentangan.

Kakak mangsa, Nooraliza, 43, pula cedera di beberapa bahagian badan.

Menurut Mohamad Firdaus, dia yang sedang bekerja di stesen minyak tidak jauh dari lokasi kejadian mendengar bunyi dentuman kuat seperti ada berlaku kemalangan.

“Saya tidak ke lokasi kejadian kerana sedang bertugas, namun tidak lama kemudian, datang seorang kanak-kanak memaklumkan yang kemalangan itu melibatkan isteri saya.

“Saya berlari ke lokasi kejadian dan mendapati isteri terlentang di atas bonet kereta yang melanggarnya.

“Tanpa berlengah, saya mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dalam keadaan matanya sesekali berkelip,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam kelmarin, Nur Shafiqah yang merupakan peniaga ikan masin maut manakala kakaknya, Nooraliza, 43, cedera di dada, pinggang dan kaki kiri setelah motosikal yang mereka naiki dirempuh Proton Satria dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Ketika kejadian, Nur Shafiqah dan kakaknya yang tinggal di Kampung Ulu, Kuala Kedah, di sini difahamkan dalam perjalanan pulang dari sebuah festival makanan berhampiran kawasan tersebut.

Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, Mohamad Firdaus dan Nur Shafiqah dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Adam Amar yang berusia dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI