fbpx

Perak sasar jadi negeri sifar tapak pelupusan menjelang 2030

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani.

IPOH – Perak menyasarkan untuk menjadi negeri sifar tapak pelupusan sampah menjelang 2030 menerusi penggunaan sistem pelupusan sampah dan sisa pepejal baharu iaitu kaedah thermowaste.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bertepatan dengan prinsip ketiga dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu kelestarian penggunaan sumber dan sasaran menjadikan Ipoh Bandar Rendah Karbon menjelang tahun 2030.

“Teknologi thermowaste yang digunakan secara meluas di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah termasuk Poland dan Sepanyol dilihat berupaya menangani isu alam seperti pencemaran bau sekali gus mampu meningkatkan kualiti kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun kelima Geopark Lembah Kinta dan majlis pelancaran Geopark Run 2024 @ Ipoh Low Carbon di sini hari ini.

Berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Afifullah Shah.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, teknologi itu merupakan kaedah pengasingan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah.

Bahkan, beliau berkata, sisa pepejal yang diasingkan boleh memberi pulangan pendapatan melalui penghasilan komoditi seperti biojisim, plastik dan logam untuk dijual kepada pihak industri.

“Asas cara teknologi ini berfungsi ialah melalui proses pensterilan dan pembersihan menggunakan haba, wap dan tekanan ke atas sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan di peringkat awal dan selepas 30 minit, penguraian sisa pepejal boleh diasingkan kepada bentuk biojisim, plastik, logam dan inert.

“Semua komoditi asas ini kemudiannya boleh dijual di pasaran. Contohnya, sisa pepejal yang ditukar kepada bentuk biojisim akan dijual sebagai bahan bakar menggantikan arang batu untuk kegunaan industri,” katanya.

Saarani berkata, MBI telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Thermowaste Mancuso Energy Sdn. Bhd. dan Selekta Spektra pada 17 Oktober lalu bagi membolehkan kajian menyeluruh dibuat bagi cadangan pembinaan loji thermowaste yang dijangka bermula Mac tahun hadapan.

“Sekiranya semuanya berjalan lancar, Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia yang akan mengitar semula 100 peratus sisa pepejal menggunakan teknologi mesra alam, yang kemudiannya boleh diperluaskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI