PETALING JAYA – Pasangan yang berkahwin menggunakan khidmat sindiket Nikah Siri kemungkinan besar bergelumang dengan zina sekiranya pernikahan mereka tidak sah di sisi syarak kerana kekurangan rukun nikah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Nor berkata, pasangan berkenaan bakal menanggung dosa besar selagi mana mereka bersekedudukan dan menjalani kehidupan sebagai suami isteri.
“Ada juga kemungkinan perkahwinan sedemikian tidak sah di sisi syarak kerana tidak cukup rukun seperti ketiadaan wali untuk pengantin perempuan atau wali hakim.
“Apatah lagi jika si wanita itu masih mempunyai suami dan bukannya gadis atau janda. Jika nikah tidak sah kerana faktor-faktor seperti dinyatakan, maka hubungan jenis antara
pasangan berkenaan adalah merupakan zina yang mengundang dosa besar,” katanya.

Menurut Wan Salim, pasangan yang ingin bernikah sepatutnya memastikan perkahwinan dijalankan menerusi jurunikah bertauliah supaya diyakini sah di sisi hukum syarak dan terhindar daripada melakukan maksiat secara tidak disengajakan.
“Saya nasihatkan masyarakat Islam Malaysia supaya mengelakkan perkahwinan yang diurus oleh mana-mana pihak yang tidak berautoriti.
“Perkahwinan sedemikian dikhuatiri akan menjadi mangsa kepada sindiket yang tidak bertanggungjawab dan akan menimbulkan masalah kemudian hari nanti seperti pendataran anak, bantuan atau hal-hal berkaitan kebajikan,” jelasnya.














