fbpx

Dua dicekup, guna identiti kerabat Diraja Kelantan iklan pelaburan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek, Khairul Khuzaini diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pelaburan emas meragukan dan menjurus kepada penipuan orang ramai.

KOTA BHARU – Pemilik sebuah kedai emas dan pekerjanya dicekup selepas dipercayai menyalahguna identiti kerabat Diraja Kelantan untuk mengiklankan pelaburan emas yang dijalankan oleh mereka.

Lelaki berusia 42 tahun dan wanita 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang kelmarin selepas polis menerima laporan berhubung kes tersebut pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan lanjut mendapati, lelaki terbabit yang merupakan pemilik sebuah syarikat menggunakan gambar kerabat Diraja Kelantan untuk merasmikan sebuah premis perniagaan emas di sini.

Menurutnya, perbuatan itu dipercayai bertujuan mempengaruhi pelanggan dalam urusan perniagaan emas.

“Pengesahan yang diperoleh dari pihak Istana Kelantan menyatakan bahawa perkara tersebut tidak benar.

“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd. Rosdi memberitahu, selain itu, polis sedang mengesan seorang lagi suspek, Khairul Khuzaini Zamsani, 28, yang dipercayai merupakan antara ahli kumpulan yang terlibat menjalankan kegiatan pelaburan emas meragukan dan menjurus kepada penipuan orang ramai.

Menurutnya, individu terbabit juga adalah suspek yang dikehendaki di Kelana Jaya dan Semenyih, Selangor atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki itu sila hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhd. Eran Mustapha Amir Shariffudin di talian 012-301 1852 atau 09-775 2200,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI