fbpx

Ustaz Nuruddin diminta tarik kenyataan wanita boleh nikahkan diri sendiri – JMNPs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video Ustaz Muhammad Nuruddin menyebut tentang wanita boleh menikahkan dirinya sendiri tanpa wali, baru-baru ini.

KANGAR – Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs) meminta seorang penceramah menarik balik pandangannya mengatakan bahawa wanita boleh menikahkan dirinya sendiri tanpa wali, baru-baru ini.

Jabatan itu juga menyatakan bahawa pandangan Ustaz Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari berkenaan wanita boleh menikahkan dirinya itu tiada dewabit (terma dan syarat) serta boleh menimbulkan ketidaktenteraman.

“Ustaz Muhammad Nuruddin mengatakan wanita boleh menikahkan dirinya sendiri dengan cara menawarkan pernikahan kepada pasangannya bersama dua saksi dan boleh dilakukan di mana-mana tempat dan bila-bila masa sahaja.

“Walaupun cadangan itu ditujukan kepada Ardini Angeline Tan dan Sabri Yunus untuk bertaklid secara mazhab Hanafi dalam perkahwinan tanpa wali, tapi kesannya jika hukum itu terpakai untuk mereka, secara logiknya ia juga terpakai untuk orang lain,” katanya hari ini.

Kenyataan dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis tentang cadangan seorang penceramah untuk wanita menikahkan dirinya sendiri tanpa wali.

Katanya, andai kenyataan itu diterima pakai, ramai wanita yang sedang berada bersama pasangannya akan menikahkan diri sendiri tanpa pengetahuan wali, apatah lagi Ustaz Muhammad Nuruddin mengatakan tindakan itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Katanya, ia akan menyebabkan keadaan tidak tenteram dan pelanggaran undang-undang sedia ada di negeri-negeri apatah lagi beliau bukanlah autoriti agama (Waliy al-Amr) dan cadangan itu mencabar keputusan autoriti pihak agama negeri.

“Sehubungan itu, pihak jabatan menasihatkan orang ramai agar tidak memakai cadangan beliau mengenai isu tersebut.

“Pasangan yang ingin berkahwin juga dinasihatkan supaya merujuk serta mendapatkan kelulusan daripada pihak autoriti agama dan bukan pandangan seperti itu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI