LETUSAN Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia baru-baru ini telah mencetuskan rasa panik pada penduduk serantau termasuk Malaysia.
Abu tebal dikhuatiri menjejaskan ruang udara sekitar sehingga memaksa syarikat penerbangan di negara ini membatalkan sementara penerbangan keluar masuk ke Sabah dan Sarawak.
Setelah beberapa hari, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) stesen pengawasan kualiti udara di kedua-dua negeri terbabit mendapati terdapat penurunan asap tebal.
Kewujudan teknologi membolehkan langkah awal diambil, namun perkara sama tidak berlaku pada abad sebelum ini sehingga menyebabkan banyak kematian.
Justeru, pada minggu ini, Panorama menyenaraikan lima letusan gunung berapi paling besar dalam sejarah dunia menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Gunung Tambora, Indonesia (92,000 kematian)
Tragedi gunung berapi terburuk di dunia berlaku pada 5 April 1815. Abu letusan mencapai ketinggian anggaran 43 kilometer (km).
Letusan itu mencetuskan aliran piroklastik, tsunami, dan lahar, sekali gus mengakibatkan kemusnahan seluruh kampung.
Pelepasan gas sulfur dioksida daripada letusan berkenaan juga menyebabkan tanah tidak subur serta penyakit berleluasa di rantau berkenaan sehingga mengorbankan banyak nyawa.
Gunung Krakatau, Indonesia (36,000 kematian)
Letusan Gunung Krakatau bermula pada 20 Mei sehingga 21 Oktober 1883. Kemuncak letusan adalah pada 27 Ogos apabila empat letusan besar berlaku dalam masa beberapa jam. Letusan tersebut menyebabkan tsunami mencapai ketinggian 40 meter sehingga meranapkan kawasan sekitar.
Bunyi letusan dapat didengar sejauh 4,828 km. Gunung tersebut masih aktif dan kali terakhir ia meletus adalah pada 2022.

Gunung Pelee, Martinique, Perancis (30,000 kematian)
Biarpun letusan berlaku dari 23 April 1902 sehingga 5 Oktober 1905, namun kemuncaknya pada 8 Mei 1902.
Gas dan aliran piroklastik menuruni lereng gunung pada kelajuan melebihi 160km sejam (km/j).
Insiden itu memusnahkan seluruh bandar Saint-Pierre dalam masa beberapa minit sahaja.
Satu-satunya insan yang terselamat dalam insiden tersebut ialah seorang banduan bernama Ludger Sylbaris.
Gunung Nevado del Ruiz, Colombia (25,000 kematian)
Gunung Nevado del Ruiz mencatatkan letusan paling besar pada 13 November 1985.
Letusan tersebut mencairkan ais dan salji di kawasan puncak. Lahar yang terdiri daripada campuran batu, serpihan gunung berapi, lumpur dan air turun dengan kelajuan 30 km/j.
Ini menyebabkan kematian penduduk di beberapa kampung dan sekitar bandar Armero.
Gunung Unzen, Jepun (15,000 kematian)
Pada 21 Mei 1792, letusan terbesar Gunung Unzen menyebabkan runtuhan tanah dalam skala besar sehingga ke laut Ariake.
Rentetan itu, berlakunya tsunami yang mencapai ketinggian lebih 100 meter.
Ia diklasifikasikan sebagai mega tsunami kecil.
Kejadian tersebut merupakan insiden gunung berapi paling teruk dalam sejarah Jepun.














