fbpx

24 lelaki ditahan gaduh angkara bunyi ekzos motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 24 lelaki diberkas dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang tular di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam, semalam.

SEBERANG PERAI – Polis menahan 24 lelaki selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah stesen minyak di Bagan Ajam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, dalam insiden tersebut, seorang remaja lelaki dipukul sekumpulan individu sehingga menyebabkan kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati punca pergaduhan disebabkan mangsa melakukan provokasi dengan membunyikan ekzos motosikal. Tindakan mangsa itu menghasilkan bunyi bising dan pada masa sama satu upacara keagamaan sedang berlangsung di kawasan itu.

“Kesemua suspek termasuk mangsa yang berusia antara 16 sehingga 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan salah seorang daripadanya didapati memiliki dua rekod kesalahan lampau,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 kerana merusuh.

Sementara itu, Mohd Asri meminta kerjasama orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat berhubung kejadian terbabit.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke IPD SPU atau balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Nazri Wan Chik di talian 014-3190131 membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 15 saat di laman sosial yang memaparkan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI