fbpx

Dewan Rakyat: Projek naik taraf MADA bermula tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun, dijangka bermula tahun depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara inisiatif di bawah projek berskala besar itu ialah pembangunan dan penyelenggaraan 100 blok sistem pengairan tertier, projek pemulihan menyeluruh Empangan Pedu serta pembangunan dan penyelenggaraan skim pemindahan sumber air Jeniang fasa dua.

“Projek dengan peruntukan RM3 bilion ini akan dilaksanakan dengan konsep kerjasama awam-swasta, melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur penanaman padi di kawasan MADA dibiayai sepenuhnya terlebih dahulu oleh pihak swasta.

“Sehingga 30 September 2023, pelaksanaan inisiatif ini sedang dalam peringkat penilaian perolehan melalui kaedah permintaan untuk cadangan (RFP), yang diuruskan bersama di antara unit kerjasama awam-swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, MADA dan jabatan-jabatan lain juga terlibat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, pembidaannya sedang berjalan sekarang yang akan dibayar semula oleh kerajaan kepada syarikat terlibat selepas projek siap.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mahu tahu bilakah projek naik taraf pengairan itu akan disiapkan.

Dalam pada itu, Mohamad turut menegaskan komitmen kementeriannya untuk terus memperkasa sistem pengairan bagi tanaman padi seluruh negara, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Perlu kita jadikan Sabah dan Sarawak jelapang padi yang kedua setelah kita melihat negeri-negeri utara ini banjirnya berlaku serentak.

“Selalunya dalam bulan Disember dan Januari. Oleh itu, usaha kita untuk mendapatkan peruntukan pada masa yang akan datang akan diteruskan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI