fbpx

Keluarga mahu bawa pulang jenazah Muhammad Izzat untuk bedah siasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD Asmawi (kiri), Muhamad Hasmanizam (dua dari kiri), Nurul Diyana (tiga dari kanan) dan Chan Chun Kuan kanan di rumah mangsa (gambar kecil) di Kampung Peramu di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Keluarga rakyat Malaysia yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan imigresen di Myanmar berhasrat membawa pulang jenazah Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab, 28, ke tanah air.

Abang mangsa, Muhamad Hasmanizam, 45, berkata, keluarga juga mahu jenazah dibedah siasat di Malaysia bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat dan meyakinkan.

“Sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang, jenazah allahyarham akan dibedah siasat di Myanmar dahulu namun timbul kebimbangan pihak keluarga keputusan bedah siasat itu tidak menunjukkan punca sebenar kematian.

“Kami dimaklumkan pihak hospital punca kematian adalah kerana sakit jantung, namun oleh kerana arwah meninggal dalam tahanan, kami merasa ragu dengan keputusan itu.

“Kami juga bimbang sekiranya keputusan bedah siasat di sana hanya untuk menyebelahi pihak negara sana, jadi kami mahu jenazah turut dibedah siasat di sini supaya dapat membuat perbandingan antara kedua-dua keputusan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian arwah,”katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Peramu, di sini, hari ini.

Mereka sekeluarga hari ini menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuan yang turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi membantu urusan membawa pulang jenazah Allahyarhaham Izzat.

Menurutnya, pihak keluarga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas punca kematian arwah Izzat dan reda sekiranya hasil keputusan bedah siasat dari kedua-dua negara sama.

Bagaimanapun katanya, jika keputusannya tidak sama pihak keluarga akan mengambil tindakan selanjutnya dengan mendapatkan rujukan daripada pihak kedutaan.

Seorang lagi abang Allahyarham, Muhamad Asmawi, 43, pula berkata, pihak keluarga memerlukan dana kira-kira RM30,000 untuk urusan bedah siasat dan membawa pulang jenazah ke tanah air dan berharap mendapat sumbangan dari pelbagai pihak.

Katanya setakat ini mereka telah mendapat sumbangan dari beberapa pihak termasuk pihak istana negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petaling Jaya, Lee Chean Chung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI