fbpx

Empat lelaki samun pecah kedai di PD diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang rampasan yang terdiri daripada peralatan pecah kedai, barang-barang yang disyaki hasil pecah kedai dan samun.

PORT DICKSON – Kegiatan sekumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun dan pecah kedai di sekitar daerah ini tumpas dengan penahanan empat suspek lelaki di sebuah apartmen di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, tangkapan itu dibuat susulan maklumat orang awam pukul 6.45 pagi, Ahad lalu mendakwa sebuah kedai runcit dipecah masuk.

“Hasil risikan dan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan empat suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun pada pukul 9.45 malam di sebuah apartmen di Telok Kemang di sini.

“Hasil pemeriksaan di apartmen tersebut menjumpai pelbagai peralatan pecah kedai, barang-barang yang disyaki hasil pecah kedai dan samun,” katanya di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, siasatan mendapati, pemilik kedai berusia 63 tahun terdengar bunyi bising di bahagian luar premis pada pukul 4.30 pagi, Ahad lalu dan pemeriksaan mendapati terdapat dua suspek lelaki berada di hadapan kedainya.

“Suspek meminta wang daripada mangsa sebelum menolaknya sehingga jatuh kerana tidak memberikan wang. Kerugian melibatkan wang tunai kira-kira RM800 dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya empat suspek tersebut, pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes iaitu empat kes pecah kedai, satu kes samun dan satu kes curi dalam bangunan di sekitar Telok Kemang.

Kesemua suspek yang direman selama enam hari bermula semalam mempunyai rekod jenayah selain dikehendaki bagi kes di daerah Seremban yang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI