fbpx

‘Memang kami tidak boleh berpisah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat pasangan kembar yang menerima sijil diploma masing-masing (dari kiri), Hanani Izzah, Hanani Izzati, Nur Khairunnabila, Nur Khairunnajua, Putri Nur Eliesya Edryyana, Putri Nur Emiesya Edryna, Amerah Laila dan Amerah Laili dalam Istiadat Konvokesyen ke-20 Kolej UNITI di Bangi, hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

BANGI – Empat pasangan kembar yang juga graduan diploma pelbagai jurusan antara yang mencuri perhatian pada Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej UNITI ke-20 berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre di sini, semalam.

Mereka ialah Hanani ‘Izzah Sudarmaji dan kembarnya, Hanani ‘Izzati serta Nur Khairunnabila Khairul Jeffri dan kembarnya Nur Khairunnajua yang menerima Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH).

Seterusnya, Putri Nur Eliesya Edryyana Muhammad Asnawi serta kembarnya, Putri Nur Emiesya Edryna yang menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK), selain Amerah Laila Ahmad Rahimy menerima DPIH dan kembarnya pula, Amerah Laili dengan DPAKK.

Dalam pada itu, Putri Nur Eliesya Edryyana berkata, dia gembira dapat melanjutkan pelajaran bersama kembarnya, Putri Nur Emiesya Edryna di Kolej UNITI dalam program yang sama ditambah lagi mereka berdua tidak pernah berpisah.

Katanya, mereka berasal dari Kuantan, Pahang dan telah berkahwin dengan pasangan masing-masing, bahkan tinggal di kawasan perumahan yang sama.

“Kami berdua memang mempunyai minat sama dan sebab itu kami melanjutkan pelajaran dalam DPAKK. Muka kami tidak banyak beza dan pernah juga sewaktu di sekolah dahulu, saya minta Emiesya naik ke pentas mewakili saya untuk mengambil hadiah disebabkan saya pemalu.

“Tahun lalu kami melangsungkan perkahwinan yang mana beza cuma sebulan sahaja. Rumah kami pun dekat iaitu selang dengan sebuah sekolah, memang kami tidak boleh berpisah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Berbeza dengan Nur Khairunnabila yang mengambil keputusan menyambung pengajian Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala kembarnya Nur Khairunnajua kini bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Nur Khairunnajua berkata, mereka juga sama seperti kembar lain tidak boleh berpisah dan sangat akrab, namun perlu ‘berkorban’ untuk mengejar cita-cita dan impian.

Pada istiadat tersebut, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyampaikan diploma kepada 884 graduan terdiri daripada 812 graduan Kolej UNITI Port Dickson dan 72 graduan Kolej UNITI Kota Bharu, Kelantan.

Kesemua mereka melibatkan 348 graduan daripada Fakulti Pengurusan Industri Halal, 375 graduan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia serta 89 graduan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md. Isa berkata, secara purata kira-kira 80 peratus graduan Kolej UNITI berpeluang mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kebolehpasaran ini merupayakan faktor kritikal untuk kekal relevan dalam ekosistem. Kalau saban tahun lahir graduan yang akhirnya mereka sukar dapat pekerjaan, mungkin IPT itu akan dilihat sebagai tidak bagus.

“Justeru untuk kebolehpasaran graduan ini, kita menawarkan program-program yang mesti dikenal pasti ada permintaan dalam bidang pengajian atau sektor strategik,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI