fbpx

Pasangan kekasih dalang sindiket dadah ditangkap bersama pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khaw (dua kanan) menunjukkan antara bungkusan dadah bersama pistol yang dirampas polis pada sidang akhbar tersebut.

SHAH ALAM – Sepasang kekasih yang mendalangi sindiket pengedaran dadah sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu berjaya ditumpaskan menerusi penahanan kedua-duanya di sebuah kondominium sekitar Puchong Jaya, Serdang, di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 32 dan 35 tahun diberkas pukul 3.15 pagi serta merampas pelbagai jenis dadah hampir seberat 35 kilogram (kg) bernilai RM4.73 juta selain sepucuk pistol bersama 32 butir peluru.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya terdahulu menahan pasangan itu di lobi kondominium berkenaan sebelum ke unit disewa mereka sebanyak RM1,600 sebulan.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya menemui pil erimin dan syabu sebelum suspek memandu arah ke sebuah kereta jenis Hyundai Elentra yang berada di parkir tepi jalan kawasan Puchong Jaya yang turut menjumpai dadah.

“Kesemua dadah yang ditemui melibatkan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 26.5 kg, ketamin (5.46 kg), heroin (1.37 kg), syabu 1.04 kg, pil ecstasy ( 548.7 gram) serta pil eremin 5 (2gram).

“Dadah tersebut akan dipasarkan secara borong atau runcit di sekitar Lembah Klang. Syabu contohnya dijual pada kadar RM33,000 hingga RM38,000 per gram,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Menurut Khaw, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock bersama satu magazine berisi 15 butir peluru serta 17 butir peluru lain dan dua mesin dipercayai alat untuk menghasilkan dadah.

Beliau menegaskan, pistol itu adalah kegunaan mereka sendiri terutama dalam keadaan mendesak bagi melepaskan tembakan.

“Siasatan mendapati suspek lelaki adalah ketua sindiket dan kekasihnya akan bertindak sebagai pembantu dengan pengedaran dilakukan mereka sendiri. Jadi, mereka mengaut keuntungan bersih yang tinggi menerusi pengedaran dadah itu.

“Kita masih menyiasat daripada mana mereka memperoleh bekalan tersebut. Setakat ini, pasangan kekasih itu tiada kaitan dengan mana-mana kongsi gelap,” katanya,

Mengulas lanjut, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai antara empat dan 16 rekod lampau dengan ujian saringan air kencing didapati positif Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo.

“Kita turut menyita dua kereta jenis Mercedes Benz, dua bentuk cincin serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM186,600.

“Mereka kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dan kes siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI