fbpx

Perak perhalusi cadangan menurunkan kadar duti hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani.

IPOH – Kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan menurunkan kadar duti hiburan seperti mana yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024, semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut akan dibawa untuk perbincangan dan kajian dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).

“Apa yang dipanggil duti hiburan ini agak meluas, ia bukan sekadar taman tema dan panggung wayang, tetapi ada banyak perkara lain. Saya percaya kerajaan negeri akan lihat inti patinya dahulu dan bincang.

“Kita mahu melihat kesannya, jika kesan (penurunan duti hiburan) menyebabkan kita kurang pendapatan tetapi memberi peluang pendapatan lumayan kepada penggiat pelancongan atau seni, jadi kita boleh pertimbangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Saarani berkata, penurunan duti hiburan itu akan diberi perhatian agar ia memberi situasi menang-menang bukan sahaja kepada kerajaan negeri malah penggiat seni serta pelancongan.

“Jika kita keras juga mahukan duti hiburan tetapi ia memberi kesan kepada sektor pelancongan, buat apa? Sebab itu kita akan buat kajian terlebih dahulu dalam MMK untuk melihat timbal balas siapa lebih untung dan siapa rugi. Lebih elok lagi jika kedua-dua pihak untung.

“Jadi kita mengambil kira saranan itu dan akan memperhalusi kesannya. Kebetulan kerajaan negeri pun sedang perhalusi Belanjawan Perak 2024,” katanya.

Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, menyeru kerajaan negeri supaya mempertimbangkan pengurangan duti hiburan seperti mana yang telah dilaksanakan di Selangor.

Menurut Anwar, penurunan duti hiburan itu mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.

Dalam pembentangan belanjawan itu, Anwar berkata, kerajaan turut bercadang menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI