fbpx

‘Hanya dapat RM40, macam mana mahu hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUSTAKIM (kiri) bersama sebahagian pemandu teksi yang mendapat bantuan RM50 bagi mengisi petrol demi mencari rezeki di Kluang semalam.

KLUANG – Kekurangan penum­pang dan lambakan pemandu e-hailing menyebabkan pemandu teksi di daerah ini semakin tertekan selepas pendapatan mereka semakin merosot dan hanya mampu mendapat sekitar tiga pelanggan sahaja setiap hari.

Situasi yang berlarutan sejak April tahun lalu itu menyebabkan Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang terpaksa mengeluarkan duit tabung bagi per­belanjaan petrol dalam usaha membantu ahli-ahli mereka mencari rezeki.

Pengerusi persatuan, Mustakim Jalel berkata, seramai 52 daripada 124 ahli persatuan yang aktif menjalankan kerja sebagai pemandu teksi dan kereta sewa menerima bantuan RM50.

Menurutnya, bantuan itu terpaksa dihulurkan bagi kelangsungan hidup ahli-ahli persatuan berikutan kekurangan penum­pang menggunakan perkhidmatan teksi pada masa ini.

“Setiap pemandu teksi hanya memperoleh pendapatan sekitar RM50 sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung kos sara hidup walaupun sebahagian ­daripada mereka merupakan pesara kerajaan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Menurut Mustakim, dengan nilai RM50 itu membantu setiap pemandu teksi menjimatkan kos petrol antara tiga atau empat hari sekiranya menghantar ­penumpang di sekitar bandar Kluang sahaja.

“Bantuan ini akan diteruskan, namun bergantung kepada duit simpanan tabung persatuan dan untuk itu, kami berharap agar ada pihak yang prihatin membantu kelangsungan persatuan.

“Perkara itu bagi memastikan setiap ahli tidak tertekan dengan kos sara hidup seharian bagi menampung keluarga,” ujarnya.

Sementara Khairul Azhar Kassim, 44, yang telah tujuh tahun menjadi pemandu teksi menyifatkan bantuan dihulurkan persatuan sangat bermakna buat mereka yang memerlukan keprihatinan daripada kerajaan pada masa kini.

“Sejak bermulanya fasa peralihan endemik Covid-19 kira-kira setahun lalu, inilah nasib kami sebagai pemandu teksi yang saban hari berhadapan dengan kekurangan penumpang sekali gus pendapatan.

“Sekiranya memperoleh pendapatan sekitar RM60 sehari selepas ditolak kos petrol sudah cukup besar bagi kami, namun secara puratanya pendapatan bersih hanya kira-kira RM30 hingga RM40 sahaja,” katanya.

Khairul Azhar berkata, ramai pemandu teksi sudah tawar hati melakukan kerja berkenaan dan menukar kerjaya sama ada sebagai pengawal keselamatan atau bersara sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI