SINAR mentari pagi baru saja kelihatan di horizon perairan sekitar Mersing, Johor sewaktu Nur Syakira Zainal menaiki bot untuk melakukan pemantauan di pulau-pulau sekitar Taman Laut Sultan Iskandar.
Dengan menggunakan teropong, wanita berusia 27 tahun itu bersama dua lagi rakan sukarelawan marin mencari jejak pendaratan penyu.
Kewujudan jejak tersebut bermaksud terdapat ibu penyu yang naik ke pantai berkenaan untuk bertelur.
Jelas Nur Syakira, pasukannya perlu segera ke kawasan telur penyu itu sebelum ia dikutip pihak tidak bertanggungjawab atau dimakan haiwan pemangsa.
“Telur-telur ini akan dikutip dengan cermat dan disusun mampat dalam baldi.
“Sedikit pasir pantai daripada sarang asal akan dimasukkan kerana ia memiliki nutrien diperlukan telur ini.
“Keadaan telur ini sangat sensitif. Sebarang gegaran kuat mampu mengganggu perkembangan tumbesaran janin,” katanya.

Kemudian, telur-telur penyu akan dibawa ke kawasan pengeraman Pusat Pemuliharaan Tunku Abdul Jalil, Tengah Island Conservation (TIC) di Long Beach, Pulau Tengah, Mersing.
TIC merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan oleh pengurusan Batu Batu sebagai inisiatif memulihara biodiversiti marin pulau-pulau di sekitarnya.
Aktiviti konservasi yang dijalankan mendapat sokongan daripada pelbagai agensi tempatan terutamanya daripada Jabatan Perikanan, Pejabat Daerah Mersing dan Majlis Daerah Mersing.
Pada 2018, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk merasmikan dan menamakan pusat konservasi itu dengan nama anakanda keempat baginda.
Pusat itu dinamakan sempena nama Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mempunyai minat mendalam dalam bidang zoologi dan konservasi.
Biarpun dirasmikan pada 2018, tempat berkenaan sudah siap dibina sejak 2015.
Kongsi Nur Syakira lagi, mereka akan mengorek pasir bagi membentuk ruang (chamber) dengan ukuran hampir sama dengan kaki belakang (flippers) ibu penyu.

Saiz tersebut berdasarkan jejak kaki penyu yang dijumpai di pulau dikunjungi.
Tambah wanita yang mengikuti program sukarelawan selama dua bulan itu, telur-telur tersebut akan diletakkan pada posisi sama seperti ia dikutip.
“Setelah semua telur ditanam, kami akan meletakkan pencatat suhu di kawasan tersebut bagi memantau keadaan semasa.
“Kami akan pastikan suhu pusat penetasan penyu sekitar 28 sehingga 30 darjah Celsius (°C) agar dapat menghasil keseimbangan jantina bagi anak penyu yang terhasil nanti,” ujarnya.
Untuk pengetahuan, jantina penyu terbentuk berdasarkan suhu persekitaran kawasan pengeraman telur.
Kecenderungan jantina betina terhasil sekiranya suhu berada di atas 30 °C, manakala kecenderungan jantina jantan pula terhasil apabila suhu berada di bawah 28 °C.
Menurut pegawai konservasi, Mohd. Nur Aiman Suhaimi, terdapat dua jenis penyu di perairan Mersing iaitu penyu agar (green sea turtle) dan penyu karah (hawksbill sea turtle).
Biarpun Mersing bukanlah sinonim dengan penyu bagi kebanyakan orang, namun Mohd. Nur Aiman berkata, kawasan tersebut antara tempat lazim pendaratan haiwan itu sejak dahulu.
Cumanya pada 2014 barulah timbul kesedaran untuk melakukan pemuliharaan setelah dapatan menunjukkan spesies penyu yang mendarat di situ dikategorikan terancam serta pupus.
Berdasarkan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), penyu agar berada dalam kategori terancam dan penyu karah pula dalam kategori terancam untuk pupus.
Atas dasar itu, pihak TIC mendapat sokongan daripada Sultan Ibrahim untuk mengutip telur dan memelihara semula spesies yang terancam tersebut.

Tambah pemuda berusia 27 tahun itu, musim bertelur bagi penyu bermula hujung Februari hingga hujung Oktober dengan tempoh kemuncak pada Jun hingga Ogos.
“Setiap penyu berpotensi untuk mendarat sebanyak empat hingga lima kali dalam satu musim dengan jarak di antara 10 hingga 14 hari.
“Dalam satu masa, penyu karah boleh bertelur sebanyak 120 ke 200 biji, manakala penyu agar pula lebih kurang 80 ke 120 biji dalam satu masa.
“Namun, tidak semua telur tersebut mampu menghasilkan anak penyu terutama apabila tiada proses persenyawaan berlaku sebelum penyu betina bertelur,” kongsinya.
Mengikut kajian, hanya satu dalam 1,000 anak penyu yang dilepaskan ke laut akan membesar sehingga tahap mampu mengawan.
Jangka hayat penyu adalah lebih 50 ke 60 tahun, sementara umur kesuburannya adalah antara 25 hingga 40 tahun.
Ujar Mohd. Nur Aiman, keadaan semula jadi seperti kehadiran akar pokok juga boleh menjejaskan proses kematangan janin penyu.
Ini kerana, bakteria yang terdapat pada akar boleh menjangkiti telur tersebut.
Oleh itu, proses pengalihan dan pengeraman perlu dilakukan di dalam persekitaran terkawal supaya lebih banyak anak penyu dapat dihasilkan.
“Tempoh pengeraman telur penyu mengambil masa 50 hingga 70 hari sebelum ia mula menetas. Kami akan pantau keadaan pasir pada hari-hari telur hendak menetas.
“Apabila terdapat kawasan pasir yang mendap, itu merupakan tanda anak penyu sudah mula mengais pasir untuk ke permukaan,” jelasnya.
Sebanyak sepuluh ekor anak penyu akan diambil secara rawak bagi proses mengukur saiz, pengambilan berat badan dan beberapa proses lain untuk kajian.
Biasanya, pelancong di Batu Batu Resort akan dijemput untuk melihat proses pelepasan anak penyu.
Tambah pemuda dari Seremban, Negeri Sembilan itu, proses pelepasan perlu dilakukan dengan segera sementara anak penyu masih aktif.
“Selepas menetas, anak-anak penyu ini sangat aktif mengais. Jadi, kami akan pastikan pelepasan dilakukan dalam tempoh 30 minit selepas menetas.
“Ini kerana kekurangan tenaga akan mengurangkan lagi tahap survival anak penyu tersebut terutama dengan pelbagai cabaran lain yang menanti di dalam laut,” jelasnya.















