fbpx

Dewan Rakyat: Dua syarikat pengeluar rugi 88 sen setiap 1kg gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Setiap 1 kilogram (kg) gula dikeluarkan, dua syarikat gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) mengalami kerugian sebanyak 88 sen.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata sejak tahun 2021, dua syarikat pengeluar gula ini telah memohon daripada kerajaan untuk menaikkan harga gula standard atau gula rakyat kerana kerugian yang terpaksa ditanggung.

“Harga gula standard di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara-negara di rantau Asia. Thailand yang juga negara pengeluar gula pun jual harga RM3.76 per kg. Myanmar RM8.39 per kg dan beberapa negara Asia lain seperti Singapura dan Kemboja harga mereka jauh lagi mahal berbanding negara kita.

“Apabila keadaan itu berlaku, mereka (syarikat pengeluar gula) datang lagi pada kerajaan untuk memohon mengeluarkan gula jernih atau gula premium. Pada 25 Mei lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluar gula untuk mengeluarkan gula premium dengan alasan untuk ‘cross’ subsidi. Kerugian gula standard disubsidikan dengan gula premium.

“Pada 1 Jun, kerajaan arahkan pengawalan bekalan, dimana pengeluaran gula oleh dua syarikat ini diberikan minimum. Untuk CSR sebanyak 18,000 metrik tan sehari manakala MSM sebanyak 24,000 metrik tan. Kita juga pantau pengeluaran 193 pemborong setiap minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kepada soalan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan yang meminta penjelasan adakah bekalan gula bukan premium amat berkurang di Perlis disebabkan penutupan kilang gula di Chuping.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, keadaan gula di Perlis tidak ada kena mengena dengan kilang penutupan di Chuping kerana operasinya sahaja berpindah dan pengedaran kilang itu adalah di seluruh negara.

Jelasnya, ada empat syarikat pemborong di Perlis dan kesemuanya daripada pengeluar yang sama.

“Apabila berlaku keadaan stok gula premium tinggi, syarikat pemborong telah keluarkan modal dan modal tersekat disitu. Jadi mereka (pemborong) terpaksa masukkan gula premium dalam pasaran. Mereka terpaksa membeli dengan ‘cash term’ dan perlu keluarkan gula premium dari simpanan mereka. Mereka juga tidak order gula standard.

“Kerajaan hari ini masih belum ambil langkah intervensi, masih dalam perbincangan bagaimana nak atasi masalah ini. Namun di Perlis, KPDN buat jualan gula rahmah iaitu menjual gula premium yang disubsidikan untuk mengatasi kekurangan kekurangan gula di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI