fbpx

Didakwa alami masalah kewangan, MYAirline diminta rujuk Mavcom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultansi Penerbangan Negara (NACC) 2023 di Hotel Pullman, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah (LCC), MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) disaran merujuk kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sekiranya mempunyai masalah kewangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya sedia untuk membantu syarikat terbabit, namun masih belum menerima sebarang maklumat dan laporan.

“Mereka perlu datang kepada (Mavcom) dahulu dan kita akan lihat apakah masalah yang dihadapi sama ada daripada segi perlesenan dan sokongan kawal selia.

“Kemudian kita akan cuba bantu tetapi mereka perlu kemuka laporan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Konsultansi Penerbangan Negara (NACC) 2023 di Hotel Pullman, di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan MYAirline sedang menghadapi masalah kewangan dengan anak Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari dilantik sebagai pemegang saham baharu.

Spekulasi itu susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo pada Sabtu lalu termasuk beberapa pengurusan tertinggi iaitu ketua pegawai kewangan dan ketua pegawai komersial.

Dalam pada itu, Anthony berkata, sebarang perubahan melibatkan pemegang saham dalam syarikat penerbangan perlu dimaklumkan kepada pihak Mavcom.

“Saya tak tahu siapa yang akan ambil alih kerana (MYAirline) belum lapor kepada mana-mana pihak lagi. Kalau ada pertukaran (pemegang saham) dan sebagainya sudah tentu ia perlu dimaklumkan kepada Mavcom,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI