JITRA – Kejayaan membangunkan empayar perniagaan selepas menjadi pengasas produk dengan memiliki ribuan ejen dan stokis di seluruh negara serta jenama produk yang menjadi pilihan pelanggan pastinya sentiasa diidamkan oleh mereka yang minat berniaga dalam bidang tersebut.
Untuk mencapai ke tahap tersebut pastinya pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh individu berkenaan dan ia tidak akan dikecapi dalam tempoh yang singkat.
Bagaimanapun, bagi peringkat awal, pelbagai syarikat yang mahu membimbing mana-mana individu yang berminat untuk menjadi pengasas produk dengan membuat pelaburan melalui kilang OEM yang berpengalaman dengan mengeluarkan produk berkualiti selain mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Salah satu syarikat yang menawarkan khidmat membangunkan seseorang usahawan baharu dalam industri tersebut adalah DRSA Holdings Sdn. Bhd. (DRSA) yang berpangkalan di sini yang memiliki kilang sendiri selain berkeupayaan menghasilkan pelbagai produk penjagaan kesihatan dan kecantikan berjenama sendiri.
Pengasas syarikat, Dr. Mohamad Khawarizmi Noor Rizan berkata, melalui modal serendah RM5,000 mana-mana usahawan baharu yang berminat untuk menjadi pengasas produk (founder) dan membina jenama dan syarikatnya sendiri boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada syarikat berkenaan.
Anak kelahiran Perak dan yang telah membangunkan syarikatnya sejak tujuh tahun lalu, bakal membimbing usahawan baharu bermula daripada fasa awal iaitu pembuatan formulasi, bahan mentah sehingga pemilihan jenama, pelabelan, pembungkusan dan lebih menarik turut menawarkan khidmat kajian makmal yang disediakan oleh syarikat.
“Pendek kata, usahawan baharu itu hanya memberi idea dan kita berbincang mengenai produk yang dihasilkan seterusnya kami akan membangunkan produk tersebut sehingga ia boleh dipasarkan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di kilangnya di sini baru-baru ini.

Mohamad Khawarizmi menerangkan, kilang ini dianggap sebagai pusat sehenti kepada usahawan untuk menjadi founder dan bersandarkan kepada kejayaan membangunkan usahawan berjaya, ia kini semakin mendapat tempat dalam kalangan ramai peniaga baharu.
“Saya pernah menjadi ejen dan stokis menjual produk milk syarikat lain serta juga pernah menjadi founder tetapi kepuasannya lebih lagi bagi saya ketika mengoperasikan perniagaan ini dengan memiliki kilang untuk membantu lebih ramai usahawan berjaya.
“Kepuasan saya adalah apabila melihat usahawan itu membuat tempahan berulang daripada kilang dan mereka terus setia membuat tempahan baharu menunjukkan bahawa hasil air tangan kami mendapat tempat dalam kalangan pelanggan,” jelasnya.
Bersandarkan kepada kejayaan tersebut, anak muda ini telah mendapat pengiktirafan daripada pelbagai anugerah yang diterimanya bukan sahaja dari dalam Malaysia tetapi juga dari luar negara.
Menurut Mohamad Khawarizmi, sepanjang kariernya dalam bisnes itu, syarikat telah menerima sebanyak 22 anugerah menunjukkan pencapaian DRSA berada di peringkat tertinggi malah mampu bersaing dalam industri yang sengit kini.
Antara anugerah yang dimenangi adalah Malaysia Top 50 Perfect CEO Award 2023, Malaysia Top 50 Perfect Brand Trust Award 2023, Malaysia Top 50 Perfect Entrepreneur Award 2023, Malaysia Top 50 Perfect Enterprise Service Award 2023 dan Malaysia Top 50 Consumers Choice Best Quality Product Awards 2023.
Mengulas lanjut, beliau menerangkan, trend semasa dalam perniagaan ini menjurus kepada pembuatan detox, produk kurus dan juga suplemen untuk memutihkan muka, produk meningkatkan kesihatan dalaman wanita dan juga lelaki.
Tambah beliau, melalui ujian makmal yang diadakan oleh pakar kimia di syarikat akan membolehkan produk keluaran syarikat tidak memberi kesan sampingan kepada tahap kesihatan pengguna dalam jangka panjang. -KOSMO!ONLINE














