fbpx

Dewan Rakyat: PLKN 3.0 bakal jalani latihan di kem tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah menjalani latihan di kem tentera bakal diperkenalkan.

Menteri Pertahanan itu berkata, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari, dengan kapasitinya mampu menampung seramai 4,000 pelatih.

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.

“Kita mahu supaya kali ini, kita tidak berbelanja banyak tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Mohamad, pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa yang mana fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat yang berlangsung di sekolah menerusi penyertaan mereka dalam badan beruniform.

Kemudian mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil (dalam) apa yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.

“Itu sebab cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang.

“Manakala kos pelaksanaan PLKN 3.0 dicadangkan tidak melebihi RM100 juta setahun, lebih rendah berbanding lebih RM500 juta setahun sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, penggunaan kem tentera dan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan ini juga membolehkan mereka mendapatkan situasi sebenar ketenteraan dan kepolisan.

“Dalam 45 hari latihan, 90 peratus daripada modul adalah untuk latihan sebagai anggota tentera dan 10 peratus latihan kewarganegaraan. Disiplin penting, kita perlu anak muda yang memiliki disiplin tinggi dan latihan ketenteraan ini boleh memberikan semangat jati diri yang kuat kepada anak muda,” katanya.

Mohamad berkata, selepas pelatih menamatkan latihannya, mereka akan diberi peluang untuk menyertai badan uniform seperti tentera dan polis.

“Selepas berakhir fasa dua, mereka akan disambut oleh pertahanan awam, polis dan tentera. Mereka yang mahu masuk tentera akan diserapkan sebagai anggota tetap dan mereka akan jalani latihan asas dan rekrut semula.

“Mereka yang sudah masuk IPTA boleh sertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan lain-lain. Di universiti wujud badan uniform yang boleh memberikan peluang mereka untuk memasuki badan beruniform. Kalau mereka mahu jadi bomba, RELA pun memang sudah sedia ada,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI