fbpx
RUHAINIES

Ruhainies tak perlukan duit lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANYA selepas setahun, barulah lamaran hasrat meletakkan pelakon cantik, Ruhainies menjadi penghias muka depan sisipan Pose akhirnya tercapai.

Bermula dengan perancangan melakukan sesi fotografi secara ‘outdoor’, beberapa kali perancangan terpaksa ditunda dek kekangan masa dan faktor cuaca tidak menentu.

Enggan ‘ke laut’ lebih jauh hasrat yang telah lama dirancang, mahu tidak mahu, Ruhainies akhirnya bersetuju untuk memenuhi keinginan penulis, memandangkan jadualnya kini sedikit santai daripada sendat dek penggambaran.

Seolah-olah sudah dapat mengagak soalan ‘perangkap’ yang akan diajukan, Ruhainies atau mesra membahasakan dirinya sebagai Anies tenang menjawab melenturkan luahan, terutamanya berkaitan dengan lelaki dan jodoh.

Sambil ketawa besar, Ruhainies tidak mengelak ataupun menunjukkan rasa tidak selesa apabila sisi peribadinya cuba diselami. Wanita berkulit putih mulus itu bahkan sangat profesional memilih pendekatam terbaik setiap hala tutur katanya.

Rimaskah dia saat disapa tentang jodoh, jawab Ruhainies, rimas atau tidak itu tergantung keadaan. Paling nyata, tiada sedikit perasaan ‘benci’ dengan soalan sebegitu.

Tinggal lagi, jika bertubi-tubi diasak soalan sama, adakala terdetik juga di hatinya rasa tertekan dengan ‘permintaan’ orang.

SELAIN kesetiaan, apa yang diharapkan Ruhainies terhadap bakal suaminya nanti adalah rasa tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga.

Paranoid

“Rimas? Tidaklah rimas bila kerap diajukan soalan tentang jodoh. Cuma saya akan rasa tertekan. Sebab saya tidak mahu berumah tangga disebabkan tekanan daripada orang luar.

“Sebab yang hendak berkahwin dan menjalani kehidupan suami isteri adalah saya. Lagi pun banyak perkara negatif yang terjadi di sekeliling saya seperti perceraian.

“Jadi perkara itu sedikit sebanyak membuatkan rasa berasa paranoid untuk mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Selain paranoid, pelakon berusia 31 tahun itu juga ragu-ragu (untuk) berkahwin dek sifat ‘overthinking’.

“Saya ada sifat ‘overthinking’ yang mencetuskan takut terhadap perkahwinan. Saya beranggapan, orang lelaki hanya awal-awal sahaja akan sayangkan kita. Tapi lama-lama, kita tidak tahu.

“Jadi, bila ada seseorang mahu mendekati saya, cepat-cepat saya menjauhkan diri. Nampak gayanya macam jadi ‘andartu’ (anak dara tua) nanti,” seloroh Ruhainies.

Si genit pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu bagaimanapun tetap percayakan aturan Tuhan tentang pasangan hidupnya pada masa akan datang. Cuma waktu dan gerangan jodohnya sahaja masih rahsia.

Risaukan perceraian, bintang drama Cukup Derita Itu juga enggan meletakkan 100 peratus kegagalan berpunca daripada lelaki.

PELAKON drama Sayang Tak Dikenang itu tidak boleh bercuti terlalu lama daripada berlakon kerana akan cepat rasa rindu untuk turun ke set penggambaran.

Katanya, hati perempuan juga tidak terkecuali daripada teruji selepas mendirikan rumah tangga.

“Bila saya kata paranoid melihat kegagalan perkahwinan orang lain, saya bukan hendak meletakkan kesalahan itu 100 peratus kepada lelaki.

“Sebab, kalau suami tidak buat perangai, takut isteri pula yang buat hal nanti. Saya takut, hati saya yang akan berubah nanti.

“Cuma Tuhan sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuka dan menutup pintu hati kita. Apa yang boleh saya buat adalah berdoa supaya dipertemukan pasangan yang boleh menyayangi dan menjaga saya sampai bila-bila.

“Saya pun nak cari seseorang yang boleh saya sayang supaya saya juga boleh menjaganya,” luah adik kepada pelakon Risteena Muin itu.

Foto: MUHAMAD IQBAL ROSLI Solekan: KIKA MOHD (@kikamohd) Rambut : EL MANDA ZUHAIRY (@elmandazuhairy) Tatarias: DEAN ISHAK (@deanishak)

‘High maintenance’

Sekadar meneka sama ada dirinya sukar untuk didekati kesan gaya hidup ‘mahal’ dan selalu terlihat mewah, Ruhainies tidak menafikan andaian tersebut. Mungkin itulah punca lelaki takut untuk mendekati dirinya.

“Saya akui, melihat gaya hidup yang mewah, mungkin lelaki takut dekati saya. Tapi perlu ditegaskan, saya berusaha keras untuk mencapai semua itu (kemewahan).

“Saya tidak perlukan duit lelaki. Saya hanya perlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang lelaki dan suami.

“Soal duit, kita boleh sama-sama cari. Sebab akhirnya, walaupun selepas berkahwin, saya masih mahu bekerja.

“Walaupun suami tidak izinkan (bekerja), saya akan cuba berbincang dengannya,” ujar Ruhainies yang enggan duduk goyang kaki, menikmati harta suami semata-mata.

Jika bekerja, Ruhainies percaya, sedikit sebanyak boleh membantu meringankan beban suami. Lebih utama, dia cukup sedar keinginan ‘besarnya’ untuk melengkapi kehidupan.

RUHAINIES beranggapan semua lelaki di dunia ini mempunyai sifat budiman, namun perkara itu hanya berlaku saat mereka mahukan dan sukakan seseorang wanita.

‘Introvert’

Beralih tentang perkembangan karier lakonannya, selepas sembilan tahun bergelar anak seni, Ruhainies sendiri sebenarnya tidak menyangka masih berada dalam industri sebagai seorang pelakon.

Kata wanita perwatakan manja itu, walaupun meminati dan mencintai bidang lakonan, dia sebenarnya memiliki karakter introvert dan selalu canggung saat mahu memulakan perbualan.

“Saya sebenarnya berperwatakan ‘introvert’. Saya lebih suka mendiamkan diri dan tidak tahu cara untuk berbual.

“Tapi saya akui, jiwa dan kecintaan saya adalah lakonan. Alhamdulillah, sudah sembilan tahun saya berada dalam industri ini,” jelasnya.

Biarpun sering disuakan watak sebagai gadis lemah lembut, Ruhainies sebenarnya memendam impian menjayakan watak yang lebih sukar dan mencabar, sekali gus mengubah persepsi pengarah dan penonton terhadap lakonannya.

“Saya mahu bawakan watak yang lain daripada kebiasaan. Ramai orang kata saya tidak sesuai untuk membawakan watak orang kampung kerana penampilan saya yang sentiasa glamor.

“Selain itu, pengarah juga selalu melihat saya tidak boleh membawakan watak-watak lasak dan mencabar. Tapi saya mahu dan boleh lakukannya. Cuma tidak diberi peluang.

“Saya tidak kisah untuk melakukan itu semua kerana jiwa dan kecintaan saya benar-benar terhadap lakonan,” katanya mengakhiri perbualan.

BIARPUN belum mendirikan rumah tangga, Ruhainies cukup faham bahawa perkahwinan bukanlah suatu hal mudah untuk dilalui setiap pasangan suami isteri

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN