fbpx

Bergusti dalam tren berkelajuan 285km/j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA penumpang merakam aksi Suzuki dan Takagi menerusi telefon pintar.

PERNAHKAH anda terfikir satu pertarungan antara ahli gusti profesional di dalam tren berkelajuan tinggi?

Kedengaran pelik bukan? Tetapi itulah acara unik yang dianjurkan di Jepun apabila dua ahli gusti profesional iaitu Minoru Suzuki dan Sanshiro Takagi bertarung dalam ruang tengah gerabak kereta api laju Jepun iaitu Shinkansen.

Kedua-dua ahli gusti itu mula berentap antara satu sama lain ketika kereta api itu bergerak sambil disaksikan para penumpang di dalamnya.

Menurut penganjur iaitu DDT-Pro, acara tersebut menampilkan perlawanan mendebarkan dalam kereta api laju antara ahli gusti Jepun yang terkenal.

Katanya, mereka menyewa keseluruhan gerabak dengan tiket terhad untuk 75 tempat duduk dan habis dijual dalam masa tidak sampai 30 minit.

“Beberapa langkah telah dibuat untuk menjaga keselamatan ahli gusti dan penumpang lain di atas tren bergerak.

“Pertarungan sengit yang berlangsung pada 18 September lalu itu menampilkan dua ahli tinju profesional Jepun.

“Ia bagi membolehkan mereka mempamerkan kemahiran bertarung dalam kereta api yang sesak dengan penumpang,” katanya.

Tambah wakil penganjur, sebelum acara bermula, gerabak kereta api itu telah diubah suai menjadi gelanggang gusti terlebih dahulu.

Pertarungan berlangsung ketika tren itu sedang dalam perjalanan dari Tokyo menuju ke Nagoya.

“Ketika pertarungan bermula, orang ramai terdiri daripada penumpang bersorak kepada ahli tinju yang menjadi pilihan masing-masing.

TAKAGI sempat mencekik Suzuki menggunakan payung ketika beraksi di dalam tren laju.

“Aksi kedua-dua ahli tinju itu turut dirakam dan dimuat naik dalam platform X dan TikTok, sekali gus tular serta dikongsi ramai netizen,” katanya.

Tambahnya, sebelum pertandingan bermula, kedua-dua peserta diingatkan dan diminta untuk tidak merosakkan mana-mana bahagian atau peralatan dalam kereta api.

“Ketika kereta api sedang meluncur laju, kedua-dua mereka saling memukul, membuat tendangan, menumbuk dan pelbagai aksi persis sedang bertarung di gelanggang sebenar.

“Takagi juga sempat mencekik Suzuki menggunakan payung, namun dibalas kembali oleh Suzuki.

“Selepas 30 minit beraksi, Suzuki yang berusia 50 tahun muncul sebagai pemenang dan dinobatkan juara,” katanya.

Tambah penganjur, walaupun tren bergerak laju, namun Shinkansen mempunyai rekod keselamatan yang amat baik.

“Sebab itu kami memilih untuk mengadakan satu perlawanan unik yang tidak pernah dianjurkan di dalam tren.

“Tiada siapa yang maut akibat kemalangan sejak kereta api Shinkansen pertama kali dilancarkan pada tahun 1964.

“Kereta api berkelajuan 285 kilometer/jam ini direka bentuk untuk meminimumkan pergerakan sisi ke sisi dan menyediakan platform stabil untuk ahli gusti berlawan.

“Ia berlangsung tanpa berlaku sebarang kecederaan, baik kepada peserta mahupun penumpang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI