NAMA Sophia Albarakbah kini sudah tidak asing lagi. Ditambah dengan pelbagai kontroversi yang menghimpit diri, khalayak semakin mengenali aktres berkulit mulus itu.
Mana tidaknya, saban waktu, hidup bersimbah nista dan cacian netizen yang bagaikan menolak namanya ke hadapan, namun pada masa sama dia tetap mengumpul peminat baharu.
Hakikat makin dikenali makin tiada privasi, lantas gerak geri aktres jelita itu seolah-olah diperhati setiap inci.
Habis kontroversi sondol suami orang, asmara bersama jejaka dikenali sebagai Mr. Doktor sehinggalah kisah putus cinta, semua tentang Sophia jadi perhatian.
Bercinta jadi cerita, putus kasih jadi topik berita, betapa hebatnya penangan aktres kacukan Melayu, Cina dan Arab itu.
Kini, kerap pula dia disuakan cerita status hati yang kembali solo selepas tiada lagi cinta dengan mana-mana lelaki.

Hati tertutup buat lelaki
Menarik nafas panjang, aktres berusia 30 tahun itu dengan pantas menegaskan hatinya ketika ini tidak lagi terbuka buat mana-mana jejaka.
Malah, Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu bertegas mahu fokus terhadap kerjaya tanpa terikat hubungan cinta yang boleh mengganggu emosi serta komitmen kerjaya.
“Buat masa ini, pintu hati saya sudah tertutup sepenuhnya untuk sesiapa.
“Banyak perkara peribadi yang tidak boleh saya kongsikan, cuma fokus paling utama adalah 100 peratus kerja dengan tumpuan yang berlipat kali ganda kepada karier bukan teman lelaki,” ujarnya dalam nada serius.
Disoal adakah didekati mana-mana lelaki selepas kembali solo, pelakon asal Kuala Lumpur itu mengakui banyak terima mesej langsung (DM) daripada lelaki yang ingin berkawan rapat.
“Jujurnya ada ramai yang mendekati tapi seperti yang saya katakan, saya masih belum bersedia, hati ini sudah dikunci untuk sesiapa.
“Patah hati bukan sesuatu yang menyeronokkan jadi saya tidak mahu melalui fasa itu lagi.
“Perasaan itu tidak mudah, sangat menyakitkan, yang melaluinya saja dapat memahami,” katanya.
Tidak menyimpan dendam, pelakon Suamiku Lelaki Pendosa itu mengakui masih berkawan selain tidak bermusuh dengan bekas teman lelaki meskipun hubungan sebagai pasangan kekasih terkubur di pertengahan jalan.
“Walaupun tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan,saya dengan dia (bekas teman lelaki) masih berkawan.
“Kalau saya rasa nak berkongsi sesuatu dengan dia, dia okey saja, begitulah sebaliknya.
“Tapi tidaklah saya berkongsi selalu cerita dengan dia sahaja, saya masih ada adik-beradik dan rakan-rakan untuk berkongsi cerita dengan mereka,” tuturnya tegas.
Menoktahkan jawapan mengenai perihal cinta setakat itu sahaja barangkali enggan mengingat kenangan lalu, Sophia sempat berkongsi tentang kerja keras dan fokus mendalamnya berlakon filem.

Fokus filem
Sophia bersyukur dilimpahi tawaran filem tanpa henti meskipun namanya baharu dalam industri seni tanah air.
Baginya, mungkin rezekinya lebih ke layar perak dan dia sedaya upaya fokus berlakon filem, selain tidak mahu mensiakan-siakan peluang keemasan yang mungkin hanya datang sekali seumur hidup.
“Walaupun macam-macam kontroversi berlaku, saya bersyukur dapat habiskan masa untuk fokus berlakon filem.
“Untuk tahun ini, insya-Allah saya akan terlibat dalam dua atau tiga filem, memandangkan banyak tawaran berlakon filem yang datang, saya buat keputusan untuk fokus naskhah layar perak.
“Ringkasnya, jadual saya sangat padat, saya memang sengaja sibukkan diri dengan kerja berbanding perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah,” jelasnya.
Dalam masa sama, graduan Diploma Bioteknologi itu sedang hangat mempromosikan drama romantik komedi Viu Original, From Saga With Love arahan pengarah Umi Salwana Omar sebelum fokus 100 peratus kepada filem dan kembali berlakon drama pada tahun hadapan.

Cabaran watak
Bercakap tentang naskhah yang sedang disiarkan menerusi platform Viu tersebut, Sophia menggalas watak sebagai Bianca Rozario.
Watak Bianca merupakan seorang pempengaruh dan selebriti terkenal yang mahu mencapai cita-cita sebagai penerbit nyata membawa Sophia keluar dari zon selesa lakonan.
Malah akui Sophia, Bianca berbeza daripada apa yang pernah dilakonkan malah pengalaman menjayakan penggambaran di Saga, iaitu bahagian selatan Pulau Kyushu, Jepun, memberinya seribu satu kenangan.
“Selalunya saya akan diberikan watak seorang wanita teraniaya, watak air mata tetapi berbeza kali ini, saya diberikan karakter yang sangat ‘fun’ dan lari daripada kebiasaan peranan yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Lokasi penggambaran di Saga, Jepun. Itu merupakan pengalaman pertama saya menjejakkan kaki di negara tersebut, banyak yang saya pelajari terutamanya dari segi budaya dan kepatuhan pada masa.
“Di sana, masa sangat penting, perlu tepat dan cepat, seawal pukul 5 pagi lagi kami sudah mula bekerja kerana matahari di sana terbitnya lebih awal dan keadaan akan menjadi terang benderang,” kongsinya.
“Memang kena kejar masa sebab mahu bergerak ke satu lokasi ke lokasi juga agak jauh dan ambil masa lama untuk sampai, sebagai pelakon saya kena pantas, namun pada masa sama kena jaga kualiti lakonan,” kongsinya.
Selain Sophia, drama From Saga With Love turut menampilkan beberapa nama besar iaitu Siti Khadijah, Ikmal Amry, Fimie Don, Vanidah Imran, Sharifah Amani dan ramai lagi.















