fbpx

Polis cadang gaji konstabel selaras gaji minimum RM1,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin (tengah) dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian WCB/PSK KDNKA Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan supaya skim gaji permulaan bagi konstabel (YA1) sebanyak RM1,441 diselaraskan dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, cadangan berkenaan mengambil kira peningkatan kos sara hidup khususnya bagi anggota pangkat rendah.

“Buat masa ini, bagi anggota berpangkat konstabel (yang baharu menamatkan latihan), apabila mereka keluar gajinya hanya RM1,441.

“Jadi, dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan oleh kerajaan, kita mohon supaya penyelarasan turut dilakukan melibatkan gaji anggota yang baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wildlife Crime Bureu/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta di sini hari ini.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, bagi meningkatkan tahap integriti pasukan, pihaknya turut mencadangkan kenaikan 30 peratus daripada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) atau pemberian satu KGT secara ‘one off’.

Katanya, cadangan itu membabitkan semua peringkat skim di PDRM iaitu Skim perkhidmatan Pegawai Kanan Polis, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel, Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Orang Asli serta Skim perkhidmatan Pegawai Rendah Polis dan Konstabel Sokongan.

“Ini antara perkara yang kita cadangkan selain kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) yang diterima pegawai dan anggota berbeza mengikut kategori bandar, pinggir bandar dan luar bandar,” katanya.

Razarudin pada Julai lalu dilaporkan berkata, gaji dan keperluan anggota polis akan diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Beliau berkata, gaji yang diperoleh anggota berpangkat rendah adalah kecil dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI