fbpx

K2

Keterujaan memburu ikan kuku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosdi bersama ikan kuku yang berjaya ditangkap di satu muara berair cetek di Kuantan, Pahang.

HANYA boleh ditemui di kawasan perairan air payau, muara, teluk, kuala sungai, ikan ini bukanlah buruan yang mudah ditawan.

Tidak menjadi sasaran penangkapan secara meluas oleh para nelayan, spesies yang dikenali sebagai ikan kuku atau sea bream itu sebaliknya menjadi ikan kegemaran yang sering dipancing oleh pemancing tegar, Rosdi Abdullah.

Menurut Rosdi yang merupakan seorang kakitangan awam, dia suka memburu ikan kuku kerana memberi keterujaan yang berbeza setiap kali umpan mengena.

“Ikan kuku ini bukan mudah untuk dijumpai, malah kalau ke pasar pun belum tentu ada orang yang menjualnya.

“Ia hanya ada di kawasan tertentu iaitu di kawasan muara sungai berbatu atau mempunyai tukun dengan airnya berwarna keruh serta hanya ada mengikut musim,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahhya, spesies marin air cetek itu dipercayai bermigrasi ke muara-muara dari Mei hingga September untuk bertelur dan waktu puncak musim bertelurnya dari Julai hingga Ogos.

Ikan kuku terbesar yang pernah direkodkan adalah 35 sentimeter (sm), namun mampu membesar sehingga 60 hingga 70sm.

Untuk menangkap ikan kuku ini perlu ada kepekaan yang tinggi memandangkan joran harus dipegang setiap masa.

Berkongsi tentang bagaimana dia mula mengenal ikan kuku, Rosdi memberitahu hal itu bermula pada tahun 2001.

Ketika itu dia tertarik apabila melihat ada seorang pemancing yang berjaya menangkap ikan tersebut semasa berada dekat dengan pantai.

“Selepas kejadian itu, saya terus mengambil tahu tentang ikan kuku dan turun padang untuk memancingnya. Ternyata ia bukan mudah.

“Saya menonton di laman video YouTube, bertanya kepada pemancing lain, malah turut mencuba sendiri memancing di kawasan yang menjadi habitat ikan kuku,” ujarnya yang sering memburu ikan itu di kawasan Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu.

Tambahnya, memancing ikan kuku mempunyai teknik tersendiri, malah hanya boleh diumpan dengan makanan tertentu seperti udang atau ketam kecil.

Bagaimanapun, Rosdi turut membuat inovasi umpan ‘mujarab’ menangkap ikan kuku yang dipanggil umpan tepung ajaib.

Kongsinya, umpan tepung itu menggunakan isi ayam yang digoreng sebagai bahan utama dan pada masa sama digaul dengan tepung hingga menjadi doh.

Katanya, ikan kuku boleh dipancing dengan teknik dasar serta apungan hanyut. Kelengkapan peralatan memancing pula haruslah tahan lasak dan kurang risiko sangkut pada sebarang struktur terutama batu berteritip.

Berkongsi pengalaman memancing ikan kuku, Rosdi mengatakan ia bergantung nasib dan pemahaman seseorang tentang ikan berkenaan.

Lazimnya ikan kuku bergerak secara solo atau kumpulan kecil, namun akan bermigrasi dalam kumpulan besar.

Oleh itu, jika bernasib baik menemui lubuk yang menjadi tempat berkumpul ikan kuku, seorang pemancing boleh menangkap hingga puluhan ekor pada satu sesi memancing.

“Menangkap ikan ini tidak memerlukan joran mesin yang besar, tetapi tali dan sebaiknya guna tali tangsi kerana kawasan ikan ini berada berbatu dan tali biasa mudah putus.

“Ikan ini mencabar kerana bukan mudah tertawan dengan umpan, ada ketika akan menelan mata kail, tetapi selalunya ia mencicip umpan sedikit demi sedikit hingga habis.

“Oleh itu pemancing kena sentiasa memegang joran dan memeriksa tali, jika ada terasa pergerakan kita boleh jangkakan ada ikan yang menghampiri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI