fbpx
Ahmad Sharul menunjukkan koleksi gewang UV kayu dan plastik buatannya di Kampung Kelat Kayu 6, Kuala Besut baru-baru ini.

Gewang rekaan anak Besut diperakui di peringkat global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Keaslian dan keunikan gewang rekaan seorang pereka grafik berasal dari Kampung Kayu Kelat 6, Kuala Besut di sini yang diperbuat daripada kayu dan plastik sejak 11 tahun lalu bukan sahaja menarik minat pemancing tempatan, malah turut berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Ahmad Sharul Mohamed, 44, berkata, gewang berbentuk ikan tersebut menarik minat peman­cing kerana menggunakan warna-­warna ultraviolet (UV) yang boleh memantulkan cahaya.

Beliau berkata, ciri-ciri tersebut mampu menarik ikan terhadap gewang yang berfungsi sebagai umpan tiruan.

“Idea menghasilkan gewang berwarna UV ini timbul apabila melihat kebanyakan gewang di pasaran tempatan pada sekitar tahun 2013 di import dari Thailand dengan kualiti kurang memuaskan.

“Gewang import tersebut ha­nya dicat menggunakan marker (pen penanda), namun harganya boleh mencecah RM60 seunit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelat 6, Kuala Besut di sini baru-baru ini.

Ahmad Sharul berkata, dia sebagai pemancing tegar kemudiannya memanfaatkan kemahirannya dalam bidang reka bentuk untuk menghasilkan gewang yang lebih praktikal tetapi berharga jauh murah.

Katanya, gewang tersebut diperbuat daripada kayu pokok pulai yang banyak di tebing ­sungai berhampiran kampungnya.

“Pada mulanya saya menghasilkan 100 buah secara buatan tangan sebelum mengujinya untuk memancing ikan.

“Tidak sangka sambutan memberangsangkan diterima daripada kalangan pemancing luar negara termasuk dari Ame­rika Syarikat dan Filipina selepas alatan itu dipromosikan mene­rusi media sosial,” katanya.

Ahmad Sharul berkata, dia kemudiannya menawarkan alternatif gewang UV yang diperbuat daripada plastik kerana lebih ringan dan murah sejak beberapa­ tahun lalu.

Tambah beliau, gewang kayu dijual pada harga antara RM35 dan RM45, manakala jenis plastik pula hanya antara RM20 dan RM25 seunit.

“Setakat ini, gewang kayu dan plastik rekaan saya mempunyai lebih 100 variati dengan lebih 500 gewang terjual setiap bulan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN