fbpx

Pemandu Mufti Kelantan, budak 10 tahun maut nahas tiga motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kemalangan melibatkan tiga buah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, Machang, malam tadi. Foto IHSAN POLIS

MACHANG – Pemandu kepada Mufti Kelantan dan seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, Nik Mohammad Ahzan Mohd. Nawi, 41, menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Muhammad Syawal Asyraf Muhammad Safuan, 10, yang membonceng motosikal jenis Yamaha LC135 bersama bapanya meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang bapa Muhammad Syawal Asyraf dipercayai keluar dari simpang sebuah kedai makan untuk menuju ke arah Kota Bharu.

Menurutnya pada masa sama, motosikal Nik Mohammad Ahzan dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang seorang anggota tentera sedang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke arah Machang.

“Nik Mohammad Ahzan dan anggota tentera itu dipercayai tidak sempat mengelak motosikal dua beranak itu sebelum terbabas merempuh motosikal mereka.

“Insiden itu menyebabkan pemandu kepada Mufti Kelantan itu tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang jurujual berusia 44 tahun,” katanya.

Mohd. Adli memberitahu, Nik Mohammad Ahzan dan Muhammad Syawal Asyraf disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala serta dihantar ke Hospital Machang untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI