fbpx

Bukan manusia sahaja, haiwan pun terjejas akibat balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Orang Asli membuat bantahan terhadap aktiviti pembalakan di Kampung Orang Asli Sungai Mahang, Seremban semalam.

SEREMBAN – Kehidupan kira-kira 1,000 penduduk di tiga perkampungan Orang Asli di Bukit Galla, Nilai dekat sini, terjejas sejak lebih sebulan lalu apabila sumber air dari sungai menjadi keruh didakwa akibat aktiviti pembalakan berlesen di kawasan hutan simpan berdekatan.

Tiga kampung berkenaan ialah perkampungan Orang Asli Tekir, Belihoi dan Sungai Mahang.

Menurut wakil penduduk Orang Asli Sungai Mahang, Panjang Pandak Tah, 63, empat lagi kampung yang terletak di jajaran bukit berkenaan juga bakal mene­rima nasib sama sekiranya aktiviti pembalakan masih diteruskan.

Katanya, pada awalnya penduduk tidak begitu terkesan de­ngan projek berkenaan, namun semuanya berubah selepas hujan lebat pada 17 Ogos lalu.

“Air sungai menjadi terlalu keruh sedangkan dari sumber inilah kami mendapatkan bekalan air bersih. Aktiviti pembalakan ini turut memusnahkan mata pencarian kami apabila banyak hasil hutan seperti rebung dan pucuk paku mati.

“Jika diteruskan, bukan sahaja Orang Asli, malah binatang pun akan kehabisan makanan. Atas sebab itu, kami mahu mendapatkan ihsan kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya ketika membuat bantahan pembalakan bersama penduduk di Kampung Orang Asli Sungai Mahang, di sini semalam.

Bagi panglima hutan Kampung Tekir, Julie Lancong, 64, surat bantahan telah dihantar kepada pelbagai agensi termasuk kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, penduduk tidak mempunyai pilihan dan berharap agar hak mereka di hutan tidak disisihkan berikutan isu pembalakan tersebut.

“Hutan tidak boleh dilihat sebagai sumber keuntungan semata-mata, tetapi ia perlu dilindu­ngi demi kesejahteraan penduduk sekitar,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu ber­kenaan, Aminuddin meminta Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengambil tindakan sewajarnya atas dakwaan penduduk Orang Asli yang terkesan akibat aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Galla.

“Saya selalu minta Jabatan Hutan lihat semula kawasan jika ada pelanggaran, tetapi menurut mereka tiada apa-apa yang me­langgar perlembagaan.

“Kawasan pembalakan itu juga jauh dari kawasan penduduk, jadi tidak timbul isu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI